Notis had operasi masjid tidak sah: MAINPP

Notis yang dikeluarkan Jawatankuasa Masjid Jalan York berhubung waktu operasi masjid. Gambar kecil: Abdul Malik
Notis yang dikeluarkan Jawatankuasa Masjid Jalan York berhubung waktu operasi masjid. Gambar kecil: Abdul Malik
A
A
A

GEORGETOWN - Notis had waktu operasi masjid yang dikeluarkan Pengerusi Masjid Jalan York bertarikh 24 Disember lalu disahkan tidak terpakai berdasarkan Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah (Negeri Pulau Pinang) 1997 - Kaedah 35 Fungsi Masjid.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, berdasarkan kaedah fungsi masjid tersebut, semua masjid perlu dibuka sekurang-kurangnya untuk solat fardu lima waktu.

Menurutnya, masjid perlu digunakan sebagai tempat orang Islam beribadat terutama untuk solat fardu lima waktu, solat Jumaat dan solat-solat lain.

"Berdasarkan kaedah tersebut, saya menganggap notis tersebut tidak terpakai. Ini kerana selain solat masjid juga berfungsi sebagai pusat kegiatan agama Islam dan pembangunan ummah serta pusat sumber yang mengandungi maklumat penduduk, MAINPP dan maklumat lain.

"Sehubungan itu, saya ingin menasihati dan mengingatkan semua pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) kariah tentang bidang kuasa sebagai pentadbir masjid, tanah wakaf masjid dan tanah perkuburan masjid. Mereka hanya berperanan sebagai wakil MAINPP seperti yang termaktub dalam Kaedah 3 dan 8 sahaja. Mereka tidak mempunyai kuasa mutlak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abdul Malik berkata, MAINPP boleh memberi arahan secara bertulis kepada pegawai masjid, AJK kariah atau AJK biro agar melaksanakan fungsi masjid seperti yang ditetapkan.

Tambahnya, Setiausaha MAINPP melalui Pegawai Agama Daerah Timur laut akan menjalankan siasatan dan mengeluarkan arahan selanjutnya berhubung notis had operasi masjid tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Malik menyatakan kekecewaannya berhubung artikel bertajuk 'Berita Yang Amat Pedih' di media sosial yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Masjid Jalan York.
Masjid Jalan York.

"Artikel ini disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan cuba memburukkan lagi keadaan. Sepatutnya pihak tersebut melaporkan tentang notis itu kepada pihak berkuasa untuk diselesaikan dengan berhemah dan tertib.

"Bukannya viral di media sosial yang akan memburukkan lagi keadaan. Saya menganggap orang menulis artikel ini berniat jahat dan ingin mencetuskan keadaan tidak baik dalam kalangan ummah. Penulis itu sengaja ingin memburukkan imej Islam dan pentadbiran Islam di Pulau Pinang," katanya.

Terdahulu, tular satu notis waktu operasi masjid tersebut yang dihadkan bermula jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam sahaja setiap hari.

Sehubungan itu, umat Islam yang ingin menunaikan solat Subuh dan Isyak (selepas jam 9.30 malam) disarankan ke Masjid Jamek Shaik Eusoff di Datuk Keramat untuk tujuan tersebut.

Notis had operasi yang dikeluarkan Pengerusi Masjid Jalan York.
Notis had operasi yang dikeluarkan Pengerusi Masjid Jalan York.

Notis yang bertarikh 24 Disember itu akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini.

Susulan daripada itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan memanggil pengerusi masjid untuk mendapatkan penjelasan mengenai notis tersebut.

Pengarahnya, Zulkifli Long berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai tadbir agama JHEAIPP untuk berhubung dengan pengerusi masjid tersebut bagi mengadakan sesi perjumpaan secepat mungkin.

Menurutnya, pihaknya turut tidak bersetuju dengan notis tersebut kerana masjid merupakan tempat ibadat orang Islam yang perlu dibuka setiap masa.

ARTIKEL BERKAITAN: Had waktu operasi: JHEAIPP akan panggil pengerusi masjid

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!