'Sesiapa pun boleh berangan nak jadi PM' - Mat Sabu
KEMAMAN - Sesiapa pun boleh mempunyai angan-angan atau impian termasuk menjadi Perdana Menteri, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Ucapan Mohamad itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai calon Perdana Menteri (PM) bagi gabungan itu pada masa depan.
"Saya mendengar tadi pemidato malam ini menyatakan bahawa jika calon PN iaitu Ahmad Samsuri menang maka beliau akan jadi Perdana Menteri.
"Janganlah marah...setiap dari kita ini boleh angan-angan. Janganlah marah, saya sendiri dahulu berangan nak kahwin dengan Lady Diana tetapi Putera Charles dah ambil dahulu, melepaslah lagi," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani PRK Kemaman di Geliga, dekat sini pada malam Rabu.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menafikan Ahmad Samsuri adalah calon Perdana Menteri pada masa depan.
Menurutnya, pemilihan Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman adalah salah satu langkah strategik yang diambil dalam memberikan gambaran kepada rakyat bahawa PN tidak ketandusan pemimpin berwibawa.
Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan ketika ini usaha untuk menukar kerajaan tidak berlaku susulan terdapat Ahli Parlimen dari PN yang mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.
"Memang selepas pilihan raya tahun 2022, Presiden Pas (Abdul Hadi Awang) kata dah cukup jumlah. Dah cukup jumlah dah lebih... Masa tu mereka kira daripada orang yang diagak akan melompat.
"Tetapi Akta Lompat Parti telah dibuat maka lompat tak boleh dan tak jadi tukar kerajaan. Lepas tu mereka (PN) berangan lagi.
"Lepas PRN enam negeri, kerajaan tak bertukar. Sekarang ini kawan-kawan mereka yang bertukar," ulasnya.
Justeru, Mohamad berkata, Anwar ketika ini boleh memberi tumpuan terhadap perancangan membangunkan ekonomi negara.
"Ertinya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertenanglah kamu, buatlah perancangan yang terbaik, sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.
"Pergilah ke sana ke mari mencari pelabur dan juga membuat dasar-dasar baharu yang boleh naikkan ekonomi Malaysia," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!