PDRM bawa bekalan tiga gol ke Kuching
PDRM FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila meraih kemenangan selesa menewaskan Kuching City, 3-0 dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Selasa.
The Cops kendalian Datuk Yunus Alif, tampil lebih garang apabila menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama dengan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.
Namun ketumpulan penyudah menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju ke bilik persalinan.
Separuh masa kedua, PDRM menggandakan serangan menyaksikan Marcus Papee Macauley membuat hantaran lintang ke kawasan kotak penalti The Cats yang kemudian disempurnakan dengan tandukan Nabil Ahmad Latpi, pada minit ke-53.
Uche Agba kemudian melebarkan jaringan dengan gol minit ke-69 memberikan keselesaan buat The Cops sebelum kapten pasukan Amir Saiful Badeli memastikan bekalan selesa untuk perlawanan akhir kedua di Stadium Negeri, Sarawak pada Ahad.
Sementara itu, Yunus Alif berkata, para pemainnya tidak boleh terlalu gembira kerana masih terdapat baki 90 minit perlawanan pada aksi timbal balik.
"Sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana Kuching City sudah pasti akan berikan sehabis baik di laman mereka nanti," katanya.
Dalam pada itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak mengakui The Cats berdepan cabaran sukar pada aksi timbal balik nanti, namun optimis pasukannya itu mampu melakar kejutan kepada The Cops.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!