Nur Aisyah penuhi impian Abu Samah beraksi di pentas Olimpik

Nur Aisyah bakal membuat penampilan pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Nur Aisyah bakal membuat penampilan pada Sukan Olimpik Paris 2024.
A
A
A

PRESIDEN Persekutan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Allahyarham Datuk Abu Samah Abd Wahab sempat menitipkan pesanan kepada pelumba wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir sebelum menghembuskan nafas terakhir di Melaka pada Selasa.

Naib Presiden PKBM, Norazman Abu Samah berkata, Allahyarham telah memberikan kata-kata semangat kepada Nur Aisyah yang mencipta sejarah selaku pelumba wanita pertama negara beraksi pada temasya Sukan Olimpik.

“Sebelum pemergian Allahyarham semalam (Selasa), saya sempat membawa pelumba wanita negara yang layak ke Olimpik Paris (2024), Nur Aisyah dan jurulatihnya, Amir (Mustafa Rusli) berjumpa dengan beliau.

“Pada masa itu, Allahyarham sempat bertanyakan khabar mereka selain turut memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada Nur Aisyah dalam persiapannya bagi menghadapi Sukan Olimpik di Paris tahun depan.

“Saya cukup terharu dengan keadaan pada masa itu memandangkan Allahyarham sememangnya mahu melihat ada pelumba wanita layak ke Sukan Olimpik, kini impian Allahyarham sudah tertunai,“ katanya.

Terdahulu, PKBM membuat keputusan memilih Nur Aisyah bagi menggalas cabaran Malaysia yang memperoleh satu kuota dalam acara lebuh raya wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Nama Nur Aisyah antara empat nama pelumba wanita yang disenarai pendek PKBM selain Phi Kun Pan; Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad dan Yeong Zhen Yi.

Dalam pada itu, Norazman yang juga anak kedua Abu Samah berkata, Allahyarham juga sempat memberikan nasihat dan pesanan kepada beberapa Ahli Jawatankuasa PKBM, barisan jurulatih dan pelumba negara.

“Pagi semalam (Selasa) Allahyarham ada juga menemui beberapa pegawai PKBM, jurulatih dan pelumba negara. Sehingga saat itu, saya lihat beliau masih lagi mahu 'bekerja' kerana cintanya terhadap sukan berbasikal.

Artikel Berkaitan:

“Apa pun saya mewakili keluarga Allahyarham ingin mengucapkan terima kasih dengan kehadiran ramai pihak termasuk komuniti sukan berbasikal negara yang menziarahi jenazah pagi ini (Rabu),“ ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!