Debaran final idaman MUFT, AMD
FINALIS dua edisi, Malaysia University Football Team (MUFT) melaungkan amaran lebih bersedia berdepan penyandang juara Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam perlawanan akhir Piala Pra U di Arena AMD, Gambang, Kuantan, Pahang.
Malah pengendali MUFT, Ridzuan Abu Shah mengakui bahawa pemainnya begitu teruja untuk berdepan AMD yang juga pasukan pilihan kejuaraan tersebut.
"Ya, seperti diramalkan AMD memang menjadi pasukan pilihan untuk layak ke final, kerana mereka sudah bersama sekian lama.
"Bertemu AMD yang juga juara bertahan untuk edisi kali ini, pasukan MUFT akan lebih bersedia berbanding edisi lepas kerana semua pemain bebas daripada kecederaan dan pergantungan.
"MUFT juga akan melakukan beberapa perubahan taktikal di pentas final bagi memastikan kami berjaya merampas kejuaraan buat kali pertama," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Sebagai rekod, MUFT mara ke perlawanan akhir untuk kali ketiga selepas membelasah pasukan dari Terengganu, MSNT-SIF-TFC, 4-0 dalam aksi separuh akhir.
Mengulas rahsia kemenangan menyakinkan empat gol ke atas MSNT-SIF-TFC, Ridzuan berkata, "Alhamdulillah, pemain-pemain MUFT beraksi cemerlang apabila tampil berdisiplin mengikut arahan dan taktikal pasukan ketika membenam cabaran Akademi MSNT-SIF-TFC di separuh akhir.
"Ini edisi final ketiga buat MUFT, saya selalu ingatkan pemain-pemain bahawa mereka perlu beri yang terbaik dalam setiap perlawanan, terutamanya pentas final bagi memastikan penat lelah mereka beraksi cemerlang sepanjang kempen ini berbaloi.
"Saya percaya sekiranya pasukan berjaya merampas kejuaraan edisi kali ketiga, ia akan menjadi moment yang sangat manis buat para pemain."
Sementara itu, pengendali AMD, Mohd Fauzzi Mohd Kassim pula menjangkakan saingan perlawanan akhir Piala Pra U berdepan MUFT sengit.
"Semua pasukan yang menyertai cabaran Piala Pra U kali ini merupakan pencabar yang mampu memberikan saingan kepada AMD.
"Malah di pentas final kali ini berdepan MUFT, saya percaya ia akan menjadi final paling sengit berbanding edisi sebelumnya, kerana kebanyakan pemain-pemain pasukan lawan juga adalah dari AMD.
"Insya-ALLAH, kita akan berusaha habis-habisan untuk mempertahankan kejuaraan sekali gus kejuaraan hatrik tambahan pula beraksi di laman sendiri," katanya.
AMD sebelum itu mengesahkan slot perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas membelasah pasukan dari Pulau Pinang, Mutiara Soccer Allstars (MSA), 7-0 dalam aksi separuh akhir.
Mengenai kemenangan bergaya ke atas MSA, Mohd Fauzzi berkata, pemain-pemain AMD menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan terutamanya bahagian jentera serangan.
"Perlawanan berdepan MSA, pemain-pemain AMD sudah bersedia sepenuhnya malah style of play AMD yang kita guna pakai ternyata menampakkan hasilnya," katanya.
Sebagai rekod sebanyak lapan pasukan menyertai Kejuaraan Piala Pra U yang bermula pada 25 sehingga 30 November, dan juara akan membawa pulang piala pusingan dan RM10,000.
Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Mutiara Soccer Allstar (MSA), Johor Darul Ta'zim (JDT B15), Akademi Penang Panther (APP) dan Akademi Bolasepak Sime Darby,
Malaysian University Football Team (MUFT), Akademi Bolasepak Felda (ABF), dan Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu-TFC (MSNT-SIF-TFC).
Sebagai rekod, kejuaraan Piala Pra U merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!