Jenayah indeks KL turun 10 peratus
KUALA LUMPUR - Statistik jenayah indeks di Kuala Lumpur mencatatkan penurunan sebanyak 410 kes atau 10 peratus dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, berbanding 4,173 kes pada tahun sebelumnya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, jenayah kekerasan secara keseluruhannya mencatatkan penurunan sebanyak 122 kes atau 14 peratus pada tahun ini berbanding 288 kes bagi tahun lalu.
"Begitu juga dengan jenayah harta benda yang turut mencatatkan penurunan sebanyak 288 kes (9 peratus) pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.
Allaudeen berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM 101 juta sejak Januari hingga Oktober, berbanding tahun lalu, sebanyak RM 122 Juta.
"Statistik tangkapan, bagi Januari hingga September lalu dan tempoh yang sama bagi tahun lalu menunjukkan peningkatan seramai 481 orang iaitu 12,199 orang bagi tahun ini berbanding tahun sebelum ini aitu 11,718 orang," katanya.
Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, jenayah komersial terus mencatatkan peningkatan kejayaan dengan 1,439 serbuan telah dilakukan membabitkan jenayan dalam talian.
"Manakala sebanyak 83 kertas siasatan telah dibuka membabitkan tangkapan 'calling centre' dengan tangkap seramai 1,023 orang sejak Januari hingga Oktober lalu.
"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Kuala Lumpur juga melaksanakan 2,549 operasi lain dalam mengekang jenayah-jenayah komersial," katanya.
Allaudeen berkata, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur membuka sebanyak 57,437 kes.
"Manakala pertuduhan kertas siasatan semasa telah mencapai 98.75 peratus dengan kertas siasatan yang telah dibuka," katanya.
Beliau berkata, seramai 170 orang pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dari JSPT Kuala Lumpur telah ditugaskan dalam memantau kesesakan trafik di ibu kota.
"Selain itu, penugasan pegawai dan anggota JSPT juga merangkumi penugasan mengiringi orang kenamaan, bahan letupan, kertas-kertas peperiksaan sekolah dan wang dalam jumlah yang besar, ia merupakan salah satu cabaran dalam penugasan mereka," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!