KPDN serbu premis jual kasut berjenama tiruan
AMPANG - Intipan dan risikan baik dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membolehkan sebuah premis menjual kasut berjenama tiruan diserbu pada Rabu.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, hasil siasatan mendapati premis terbabit menjalankan perniagaan jualan kasut berjenama tiruan secara dalam talian sejak 2021.
Beliau berkata, premis itu juga dipercayai dijadikan stor simpanan dan tempat urus niaga secara dalam talian untuk pelbagai kasut berjenama terkenal.
Menurutnya, serbuan dijalankan dengan kerjasama wakil cap dagang yang sah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 berhubung aktiviti mencurigakan membabitkan cap dagangan yang diwakili.
"Kejayaan ini merupakan hasil daripada tinjauan dan risikan yang dijalankan selama sebulan.
"Semasa serbuan dilakukan, anggota petugas menemui seorang lelaki warga asing berusia 18 tahun disyaki pekerja premis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Zuhairi berkata, pemeriksaan awal pasukan serbuan bermula di sebuah premis yang dipercayai kediaman orang yang disiasat, bagaimanapun kediaman terbabit tidak menjalankan sebarang aktiviti mencurigakan.
Tambahnya, dalam serbuan yang dilakukan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai pemilik premis yang diserbu dan kesemua barangan tiruan yang disita dalam operasi terbabit dianggarkan berjumlah RM45,123.
"Semua barang rampasan akan disimpan serta dikawal di bawah Pengurusan eksibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!