Real dalam kelas tersendiri
REAL Madrid meraih kemenangan 4-2 ke atas Napoli pada Khamis untuk layak ke pusingan 16 terakhir sebagai juara kumpulan C, Liga Juara-Juara.
Kekalahan Napoli itu menyaksikan mereka berada di tempat kedua dan pasukan dari Itali itu akan berdepan Braga dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk menentukan siapa yang mara ke pusingan seterusnya.
Juara 14 kali, Real Madrid sudah pun mara tetapi mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan dengan kemenangan menghiburkan ke atas pasukan pelawat itu di Santiago Bernabeu.
Giovanni Simeone meletakkan Napoli di hadapan seawal minit kesembilan sebelum Rodrygo dan Jude Bellingham pantas menjaringkan gol untuk mengubah permainan.
Andre-Frank Zambo Anguissa menyamakan kedudukan untuk pelawat selepas separuh masa tetapi pemain muda Madrid, Nico Paz memastikan pasukannya terus garang selepas 84 minit dan Joselu melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan.
“Saya sangat gembira, ini adalah mimpi... buat seketika saya tidak percaya.
“(Rakan sepasukan saya) mungkin lebih gembira daripada saya, dan saya berterima kasih kepada mereka atas sokongan mereka,” kata Paz kepada Movistar selepas membantu Madrid meneruskan rekod 100 peratus mereka - lima kemenangan daripada lima perlawanan.
Bellingham pula kini telah meledak empat gol untuk Madrid dalam Liga Juara-Juara dan sejumlah 15 gol dalam 16 penampilan musim ini, menjadikannya penjaring terbanyak kelab itu.
“Tiada siapa yang dapat membayangkan dia menyesuaikan diri seperti ini di kelab baharu ini, dia mengejutkan semua orang.
“Dia hebat apabila tiba di dalam kotak penalti, dia seperti sebuah motosikal yang tiba di kawasan itu,” kata pengendali Real, Carlo Ancelotti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!