Kongres Jawi Kebangsaan usul resolusi tangguh jawi di sekolah
PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Kongres Jawi Kebangsaan mengemukakan tujuh resolusi yang akan dibawa kepada Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya esok.
Antara resolusinya termasuklah menangguhkan dan membincangkan pengenalan jawi di sekolah selain membantah pelaksanaannya yang dilakukan secara paksaan.
Resolusi tersebut dibacakan Setiausaha Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) Nasional, Arun Dorasamy di hadapan lebih 1,000 peserta kongres.
“Resolusi pertama, kami membantah pelaksanaan jawi secara paksaan tanpa rundingan,” katanya disambut laungan 'setuju' daripada peserta kongres.
Arun kemudian terus membacakan resolusi lain yang kemudian terus disambut dengan laungan 'setuju' sambil mengangkat tangan oleh peserta kongres.
“Kedua, kami bantah penerapan jawi dalam mata pelajaran wajib lulus Bahasa Melayu. Ketiga, kami menyeru pembelajaran jawi diperkenalkan sebagai mata pelajaran pilihan.
“Keempat, kami menyeru memartabatkan penggunaan bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan. Kelima, kami menyeru mendaulatkan semangat Akta Bahasa dan Perlembagaan Persekutuan.
“Keenam, kami menyeru untuk menegakkan hak sekolah vernakular dan pembelajaran bahasa ibunda,” katanya.
Arun kemudiannya membacakan usul ketujuh yang sebelumnya tidak dimaklumkan kepada hadirin dengan mendakwa ia adalah resolusi rahsia.
“Resolusi ketujuh, kita menyeru untuk tangguh dan bincang (sebelum) kenalkan jawi,” katanya disambut sorakan dan tepukan hadirin.
Kongres yang berlangsung hampir empat jam itu berjalan lancar dan menariknya, beberapa individu mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang hadir sebagai tanda protes turut dipelawa menyertai kongres berkenaan.
Bahkan, Presiden Gelombang Rakyat Malaysia, Ellie Suriati Omar dan beberapa individu lain turut diundang naik ke pentas bersama-sama penceramah dalam program itu.
Ellie Suriati turut menyampaikan ucapan ringkas ketika berada di pentas dan menyatakan kesediaan pihaknya untuk berdialog dengan penganjur bagi membincangkan isu pelaksanaan tulisan jawi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!