Kelindan lori didakwa cuba bunuh polis
TELUK INTAN - Seorang kelindan lori yang sebelum ini berdepan pertuduhan merompak dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Khamis atas cubaan membunuh anggota polis, Oktober lalu.
Tertuduh, Mohamad Hafiz Naharoddin, 28, dipercayai ahli Geng Bulat bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, bapa seorang anak itu didakwa cuba membunuh Koperal Nik Mohd Khairul Izwan Nik Jid dengan memandu kenderaan jenis Perodua Myvi secara berbahaya di atas jalan raya di hadapan masjid Simpang 4, Labu Kubong, Chenderong Balai dalam daerah Hilir Perak sekitar jam 5.50 petang pada 23 Oktober 2023.
Perbuatan itu telah mendatangkan kecederaan ke atas mangsa yang diketahui perbuatan sedemikian boleh menyebabkan kematian.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.
Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan memohon satu jaminan yang munasabah mengambil kira kecederaan di bahu kanan tertuduh yang menerima 64 jahitan akibat terkena tembakan dilepaskan polis.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat.
Mahkamah turut menetapkan 29 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Pada 17 November lalu, tertuduh bersama abangnya, Ahmad Fazrin, 31, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas lima pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di sekitar Ipoh.
Media melaporkan dalam kejadian 23 Oktober itu, seorang anggota polis diseret ketika cuba menahan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua lelaki berusia 28 dan 31 tahun dipercayai terbabit kes samun bersenjata.
Dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu, tertuduh yang memandu bertindak mengundur kereta secara berbahaya hingga menyeret anggota, menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah cermin hadapan kenderaan untuk mempertahankan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!