[VIDEO] Dua lelaki didakwa edar dadah 4kg

A
A
A

TAMPIN - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Gemas di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mengedar dadah lebih empat kilogram minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Seah Wai Lun, 33, dan Muhammad Kumaran Gurubaran Arumugam, 34, sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan berkenaan, kedua-dua mereka secara bersama-sama didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan anggaran berat 4164.2 gram dan heroin dengan anggaran 77.7 gram.

Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Gemas di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mengedar dadah lebih empat kilogram, minggu lalu.
Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Gemas di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mengedar dadah lebih empat kilogram, minggu lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam lebih kurang 5.45 petang di hadapan sebuah rumah di Jalan Pulai 1 Bandar Utama Tampin pada 23 November lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama serta dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dihukum dengan sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wai Lun turut berdepan tiga lagi pertuduhan lain juga berkaitan dadah di lokasi, masa dan tarikh sama.

Lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 50.1 gram.

Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki dadah dia mengaku tidak bersalah atas pendakwaan memiliki dadah jenis nimetazepam anggaran berat 48.4 gram dan kanabis berat kira-kira 13.8 gram.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 dibawah akta yang sama.

Pendakwaan kendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua tertuduh tidak ditawarkan jaminan berikutan ia melibatkan hukuman mati.

Mahkamah seterusnya menetapkan 11 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes dan laporan kimia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!