'Apalah nasib kami selepas enam bulan'
KUALA LUMPUR - Penduduk Kampung Segambut Permai di sini gusar memikirkan nasib mereka selepas tempoh penempatan di rumah transit sementara selama enam bulan tamat.
Sebelum ini, pemaju mengarahkan penduduk Kampung Segambut Permai mengosongkan rumah pada 9 Disember lalu namun ditangguh selama dua minggu dan berakhir 23 Disember lalu.
Kediaman mereka sepatutnya dirobohkan pemaju pada 9 Disember lalu, namun difahamkan ditangguhkan selepas mendapat campur tangan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Wakil penduduk, Mohd Nazeem Sultan Mohamed, 36, berkata, penduduk telah diberikan rumah transit sementara untuk diduduki selama enam bulan.
Bagaimanapun, menurutnya, penduduk terlibat bimbang kerana rumah transit yang diberi hanyalah selama enam bulan dan tiada jaminan rumah kekal untuk mereka diami.
ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Segambut Permai mohon tangguh roboh rumah
"Ada di antara kami juga diberikan rumah alternatif (PPR) yang lain namun kami diletakkan secara berselerak, selain jarak jauh dari tempat kerja dan sekolah.
"Kami berharap dengan penyerahan memorandum ini dapat membawa kepada penyelesaian yang terbaik.
"Kita harapkan kepada satu solusi yang terbaik dengan penyerahan memorandum kepada DBKL, kasihanilah kami dan bantulah kami. Semoga dengan apa yang kita capai dengan pihak DBKL kelak akan memberikan satu maklum balas yang positif," katanya.
Seramai 30 penduduk Kampung Segambut Permai di sini menyerahkan memorandum kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kelmarin berhubung tawaran rumah transit sementara kepada mereka sebelum ini.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Bedah Nasir, 71, berkata, walaupun dia generasi kedua peneroka kawasan tanah kampung berkenaan, namun tetap berasa sedih apabila rumahnya bakal dirobohkan.
"Saya antara peneroka awal iaitu generasi kedua di sini. Kami datang sini sekitar tahun 1969, tanah ini banyak menyimpan memori dan kenangan saya dan keluarga.
"Namun bila kami diarahkan berpindah, sedikit rasa ralat itu ada, manakan tidak, kami teroka akhirnya disuruh keluar, diberi pun sekadar rumah transit yang mana tempoh sehingga enam bulan," katanya.
Katanya, rumah transit yang didiaminya kini merupakan rumah bertingkat.
"Saya dah tua, nak naik tangga pun dah tak larat kalau boleh nak rumah yang selesa sikit.
"Kalau boleh biar dapat rumah kekal dan selesa buat saya dan keluarga, nak suruh saya keluar saya akan keluar saya reda," katanya sayu.
Penduduk, Mohd Fariz Ramli, 34, berkata, mereka merasakan seperti telah ditipu apabila melihat notis mahkamah yang sepenuhnya.
"Selama ini kami melihat di bahagian hadapan notis sahaja, tanpa melihat di dalamnya. Satu hari kita telah bertemu dengan seorang peguam. Dia katakan bagaimana kami mahu menolong sedangkan kamu semua telah bersetuju untuk keluar.
"Jadi bila kita tengok balik, sebenarnya kita tidak pernah bersetuju pun untuk keluar.
"Bila tengok balik notis itu baru kita sedar ada penyataan yang menyatakan ada peguam yang dilantik mewakili pihak kami sedangkan kami tidak tahu menahu mengenai perkara itu," dakwanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!