Lelaki dipenjara setahun tumbuk ibu, gara-gara RM10

Buruh sawit dikenakan hukuman penjara satu tahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis selepas mengaku bersalah mencederakan ibunya dalam kejadian, Isnin lepas.
Buruh sawit dikenakan hukuman penjara satu tahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis selepas mengaku bersalah mencederakan ibunya dalam kejadian, Isnin lepas.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang lelaki yang mencederakan ibunya hanya kerana tidak diberikan RM10 dikenakan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis.

Majistret T Ashvinii menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Chai Chon Tak, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan.

Buruh sawit yang masih bujang itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ibu kandungnya, Hew Yoke Cheng, 50, di sebuah rumah dalam bangunan Pejabat DAP dekat Langkap dalam daerah Hilir Perak jam lebih kurang jam 3 petang pada 27 November 2023.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menumbuk lengan kiri mangsa hingga mengakibatkan kecederaan pada tisu lembut.

Sebelum kejadian, tertuduh telah datang menemui ibunya untuk meminta wang RM10, namun mangsa tidak mahu memberikan wang tersebut kerana mendakwa anaknya itu menghisap dadah.

Bagi kesalahan itu, Chon Tak didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan memohon satu hukuman setimpal dikenakan memandangkan perbuatan itu dilakukan terhadap ibu kandung selain sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), F Faustina meminta mahkamah hukuman minimum mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman satu tahun penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 27 November 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!