PDRM FC belum mahu dabik dada
PDRM FC tidak mahu mendabik dada walaupun berjaya mencatatkan kemenangan besar 3-0 ke atas Kuching City FC dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Selasa.
Pengendalinya, Datuk Yunus Alif berkata, perlawanan masih berbaki 90 minit dan beliau menjangkakan apa juga boleh berlaku pada perlawanan akhir kedua yang akan berlangsung pada Ahad.
“Masih ada 90 minit lagi (di laman lawan) dan kami tidak akan ambil mudah. Walaupun dapat tiga gol, tetapi bola sepak apa-apa pun boleh berlaku.
“Kami perlu merancang (untuk aksi timbal balik). Mereka (Kuching City) akan pergi 'all out' dalam tempoh 90 minit itu," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, PDRM membuka tirai jaringan menerusi tandukan Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-53 sebelum Uche Agba melebarkan jaringan dengan gol pada minit ke-69.
Kapten pasukan, Amir Saiful Badeli memastikan bekalan selesa menuju perlawanan akhir kedua di Stadium Negeri, Sarawak apabila meledak gol ketiga pada minit ke-78.
Dalam pada itu, Yunus berkata, para pemainnya agak gementar terutama pada separuh masa pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan kebuntuan gol.
Beliau berkata, perubahan taktikal pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila para pemainnya mula berani untuk mencipta peluang.
"Pada separuh masa pertama mereka takut untuk bergerak ke hadapan untuk menyerang. Separuh masa kedua, saya mengarahkan pemain untuk pergi lebih ofensif dan dengan cara itu kita dapat peluang terbuka untuk hasilkan gol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!