KADA peruntuk RM30,000 bantu sawah padi tenggelam banjir
TUMPAT - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan lebih RM30,000 bagi membantu 20 pesawah yang rugi akibat padi ditenggelami banjir di kawasan Tok Chong, Bendang Simpangan dan Bendang Pisau Raut di sini, sejak seminggu lalu.
Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa berkata, langkah segera itu diambil atas keprihatinan pihaknya dalam membantu golongan pesawah terlibat.
“Saya membuat tinjauan ke kawasan terbabit dan akan mengambil langkah segera dengan membuat kerja-kerja baik pulih pintu kawalan saliran.
“Kerja-kerja berkaitan di Bendang Tok Chong, Bendang Pisau Raut dan Bendang Pak Yong ini dianggarkan menelan berlanja bernilai hampir RM20,000,” katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, selain itu KADA juga akan membina lintasan jentera dan kerja-kerja berkaitan di Saliran MGA Bendang Kubang Gajah, Jejulok, yang dianggarkan berjumlah RM12,000.
“Seterusnya, pihak kami akan menjalankan kerja mengorek tanah yang menghalang laluan air di Saliran MGA Bendang Simpangan,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan lebih 20 pesawah itu mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM120,000 selepas 30 hektar padi ditenggelami banjir setinggi 0.5 meter di kerana hujan sejak seminggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!