Mayat dijumpai selepas 12 jam kemalangan

Keadaan kereta mangsa selepas terbabas di Jalan Kampung Rahmat-Sri Gading, Batu Pahat.- Foto Bomba
Keadaan kereta mangsa selepas terbabas di Jalan Kampung Rahmat-Sri Gading, Batu Pahat.- Foto Bomba
A
A
A

BATU PAHAT - Mayat seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kemalangan raya ditemui dalam parit di Jalan Kampung Rahmat-Sri Gading.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan pada sekitar jam 10 pagi Rabu.

Bagaimanapun, kemalangan terbabit dipercayai berlaku pada jam 10 malam Selasa.

"Mayat ditemui selepas 12 jam kemalangan berlaku. Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di bahu jalan itu.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan bahagian dalaman badan menyebabkannya meninggal di tempat kejadian.

"Semakan mendapati mangsa berusia 39 tahun dan beralamat di Batu Pahat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Shahrulanuar, mayat kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Ayub Majid berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

Ujarnya, sebaik tiba anggota mendapati sebuah kereta berada di dalam parit simen dengan seorang lelaki didapati mengalami kecederaan parah serta tersepit di tempat duduk pemandu.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang turut hadir untuk membantu," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!