Perumahan Felda: Ahmad Samsuri ucap terima kasih kepada PM

Ahmad Samsuri - Foto Bernama
Ahmad Samsuri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana akan memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu perumahan generasi kedua dan ketiga Felda.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempermudahkan pelaksanaan projek itu demi kebaikan dan kesejahteraan penduduk terlibat.

"Saya ingin mengambil kesempatan dalam sidang (Dewan Undangan Negeri) pada hari ini untuk mengucapkan setinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana mengumumkan semalam di Chukai, untuk memberi keutamaan menyelesaikan isu perumahan generasi kedua dan ketiga Felda.

"...semua peneroka Felda di Terengganu juga menyumbang kepada ekonomi negara. Terima kasih kerana mendengar suara rakyat Felda di Terengganu ini,” katanya pada sesi Penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga berharap usaha itu berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Semalam, pada program Ramah Mesra Bersama Komuniti Felda dan Ketengah di Felda Seberang Tayor di Chukai, Anwar berkata kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah perumahan yang membelenggu generasi kedua dan ketiga Felda.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menerima beberapa cadangan mengenai perkara itu dan ia sedang diteliti untuk tindakan selanjutnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!