Penyewa menyamar tuan rumah kutip deposit sewa
JOHOR BAHRU - Seorang wanita terkejut apabila mendapati penyewa rumahnya di Kampung Melayu Majidee di sini menyamar sebagai tuan rumah dan mengambil deposit sebulan daripada sebuah keluarga pada awal bulan ini.
Lyna Rizal, 54, mendakwa, kejadian itu diketahuinya apabila tidak dapat menghubungi penyewa asal tersebut iaitu seorang lelaki berusia 30-an kerana mahu mengutip sewa yang tertunggak untuk sebulan.
"Dia mula menyewa kediaman saya dengan kadar RM1,200 sebulan pada awal Ogos lalu dan turut menjelaskan deposit sebulan secara tunai.
"Bagaimanapun, bayaran sewanya tertunggak selama sebulan selepas itu dan dia gagal dihubungi mulai 18 November.
"Apabila pergi ke rumah itu, saya terkejut apabila mendapati rumah kami sudah ada penyewa baharu.
"Rupa-rupanya lelaki berkenaan sudah keluar rumah dan mendapatkan bayaran deposit sewa rumah daripada penyewa baharu.
"Dia bukan saja menyamar sebagai tuan rumah untuk mendapatkan bayaran deposit sewa rumah malah turut mengabaikan tiga kucing hingga kebuluran dan dipenuhi najis," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Lyna berkata, pihaknya bersimpati dengan penyewa baharu itu yang menjadi mangsa lelaki berkenaan sehingga kerugian RM1,650.
"Saya memberi kelonggaran kepada penyewa baharu kerana mereka akan berdepan kesulitan sekiranya diminta mengosongkan kediaman," katanya.
Lyna membuat laporan di Balai Polis Dengkil, Sepang pada 19 November lalu dan penyewa baharu juga membuat laporan di Balai Polis Majidee pada hari yang sama.
Menurutnya, mereka membuat laporan polis supaya tiada pihak yang menjadi mangsa lelaki berkenaan pada masa depan.
Lyna mendakwa, lelaki berkenaan muncul dalam media sosial pada Khamis lalu selepas laporan polis dibuat tetapi mengejutkan apabila tidak memohon maaf atau mahu bertanggungjawab sebaliknya cuba mempertahankan dirinya.
"Dia menggelar dirinya sebagai ejen hartanah dan diharap tiada orang lain menjadi mangsa lelaki ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!