Selesaikan segera isu orang tengah - Mohamad Sabu
KEMAMAN - Isu berkaitan orang tengah perlu diselesaikan segera bagi memastikan harga hasil tangkapan laut lebih setimpal kepada pembeli.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu berkata, agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) perlu memainkan peranan kerana masalah rantaian bekalan adalah antara faktor penyumbang harga tinggi di pasaran, terutama di bandar.
"Kita dapati ada jurang harga yang begitu ketara. Bila murah di sini (pantai), jangan kita merasa seronok sebab nelayan tidak mendapat harga yang sepatutnya.
"Tiga kilogram boleh dapat pada harga RM10 tapi kalau pasar di Lembah Klang, ikan sekilo RM13. Di sini, saya nampak peranan orang tengah masih kuat.
"Kita harap LKIM dan NEKMAT main peranan bagaimana memastikan harga yang dijual di pantai ini, lebih setimpal dengan harga dibeli pengguna di bandar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menjayakan Program Santai Madani bersama Nelayan di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman pada Khamis.
Program santai bersama lebih 200 nelayan itu bertujuan mendekati golongan sasar dan mendengar sendiri pandangan serta pendapat golongan berkenaan dalam memperkasakan lagi industri perikanan negara.
Sementara itu, Mohamad menambah, sebanyak 500 rumah nelayan yang daif di seluruh negara akan dibaik pulih dengan peruntukan RM10 juta pada tahun ini.
Jelasnya, ia bagi memberi keselesaan kepada nelayan terlibat tinggal di kediaman yang lebih baik.
“Kalau lihat kepada perkampungan nelayan, kita dapat rasakan ekonomi mereka di tahap yang agak rendah. Rumah mereka sama ada dibuat secara bersendirian atau pun dibeli, kita nampak ia memerlukan penambahbaikan.
“Sebab itu kita peruntukkan untuk membaiki rumah nelayan sebanyak RM10 juta, namun sebenarnya bagi saya jumlah itu masih belum mencukupi. Buat masa ini, kita melihat mana yang perlu didahulukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!