Terlalu bertahan undang padah
KESILAPAN Kuching City FC yang terlalu bertahan pada separuh masa kedua menyaksikan mereka tewas kepada PDRM FC dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Rabu.
Perkara itu diakui pengendalinya, Aidil Sharin Sahak yang menyifatkan PDRM mengambil kesempatan taktikal bertahan yang digunakan pasukannya untuk menjaringkan gol.
“Dua gol kami membiarkan mereka melakukan percubaan dan ia berlaku. Saya mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana mereka bermain dengan baik terutama serangan balas.
“Hari ini kami tidak berada dalam situasi yang baik ketika bertahan," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Menurutnya, Kuching City FC tidak akan mengalah dan akan cuba bangkit biarpun sedar aksi kedua di laman sendiri nanti tidak mudah.
“Saya masih positif dan melupakan aksi pertama ini serta bersedia untuk aksi timbal balik. Sudah tentu PDRM ada kelebihan ketika ini selain tidak bolos.
“Apa yang penting, kami perlu memberikan segalanya pada perlawanan kedua, jadi kami akan cuba yang terbaik," katanya.
Perlawanan akhir kedua Piala Cabaran membabitkan kedua-dua pasukan akan berlangsung pada Ahad di Stadium Negeri, Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!