Majikan sokong Dasar Gaji Progresif - Rafizi
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang akan bermula secara projek rintis tahun depan mendapat sokongan majikan di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sokongan yang diterima itu juga di luar jangkaan asalnya.
“Apabilla saya dan kementerian fokus kepada reformasi pasaran pekerjaan, ia jelas sekali (berkait) mengenai bayaran dan peningkatan kemahiran. Saya harus akui pada permulaannya (beranggapan mungkin tidak dipersetujui majikan).
“Ia memandangkan syarikat atau majikan masih bergelut dengan (pelaksanaan) gaji minimum tapi (penerimaan majikan) sebenarnya agak positif dan daripada perbincangan ia diterima baik.
“Kita telah bercakap dengan Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), dewan-dewan industri dan sebagainya. Saya yakin sebenarnya majikan akan menyertainya,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Isnin.
Terdahulu, Rafizi membentangkan usul Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif yang menjadi sebahagian usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengatasi masalah struktur pasaran buruh melalui reformasi gaji.
Tambahnya, pelaksanaan projek rintis itu hanya melibatkan pekerja tempatan dan memfokuskan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ujarnya, masalah gaji rendah merupakan isu utama yang dihadapi pekerja di negeri ini dan berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama Tahun 2023, 73.3 peratus daripada 6.54 juta pekerja formal menerima gaji kurang daripada RM5,000 sebulan.
Laporan Gaji dan Upah Tahun 2022 pula katanya, menunjukkan trend pertumbuhan gaji keseluruhan pekerja di Malaysia yang kurang memberangsangkan, dengan kadar pertumbuhan purata gaji penengah bulanan dari tahun 2011 sehingga tahun 2022 hanya mencatatkan 4.1 peratus.
“Berdasarkan Laporan Statistik Siswazah 2022, gaji penengah graduan yang baharu memasuki pasaran buruh berkurang daripada RM2,066 sebulan pada tahun 2019 kepada RM1,624 pada tahun 2022,” katanya.
Rafizi turut memaklumkan, laporan Bank Dunia merekodkan kadar pertumbuhan gaji pekerja dengan kelulusan tertiari di Malaysia dalam kalangan kumpulan berumur 20 hingga 29 tahun menunjukkan pertumbuhan yang perlahan berbanding kategori umur 30 tahun dan ke atas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!