Laporan polis Wahab dedah identiti Mr H
KAJANG - Laporan yang dibuat oleh Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada Khamis, adalah untuk mendedahkan identiti Mr H.
Peguamnya Faizal Abd Rahman, pihaknya membuat laporan tentang peranan Mr H sebagai dalang membabitkan kes tular rakaman video perbualan berbaur lucah yang dikaitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab.
"Abdul Wahab sebagai pengadu memberikan kerjasama sepenuhnya meliputi video dan beberapa perkara tambahan yang lain.
"Sudah tentu siasatan hari ini lebih lama dari semalam (rakaman percakapan di Bukit Aman), sebab semalam Abdul Wahab hadir sebagai saksi dan hari ini sebagai pengadu," katanya ketika ditemui selepas selesai membuat laporan di IPD Kajang, petang Khamis.
Faizal berkata, kenyataan yang diberikan semasa sidang media pada 17 November lalu adalah sama, namun dalam proses siasatan polis skopnya lebih luas.
Ketika ditanya mengenai kertas siasatan kes berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, esok, Faizal berpuas hati dan gembira dengan tindakan polis yang segera melengkapkan siasatan.
"Saya tidak nampak mengapakah siasatan ini perlu dijalankan lebih lama dan saya gembira dengan kenyataan Ketua Polis Negara, bahawa siasatan kes berkenaan selesai dijalankan.
"Apa pun, selepas meneliti segala fakta kita percaya hanya Mr H sahaja yang sebenarnya dalang di sebalik semua krisis ini," katanya.
Beliau bagaimanapun memaklumkan kepada media bahawa pihaknya tidak dapat mendedahkan butiran terperinci mengenai identiti Mr H kepada umum sehingga perkara berkenaan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.
Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan bahawa siasatan kes membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab selesai dijalankan.
Seramai lapan saksi sudah dipanggil memberikan keterangan dan kertas siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, pada Jumaat.
Sebelum ini dalam satu sidang media, Abdul Wahab mendedahkan tindakan merakam perbualan antara dirinya dan Mohammad Agus didalangi seorang individu yang dikenali sebagai Mr H.
Kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!