Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh perlahan - DOSM

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

EKONOMI Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan dalam tempoh masa terdekat seperti digambarkan oleh Indeks Pelopor (IP), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks berkenaan menunjukkan pergerakan lebih baik untuk tiga bulan berturut-turut kepada negatif 0.3 peratus dengan merekodkan 109.3 mata pada September 2023 berbanding negatif 0.5 peratus bulan sebelumnya.

“Walaupun masih di bawah trend 100 mata dalam analisis jangka panjang terlicin pada September 2023, IP menjangka ekonomi Malaysia bertumbuh sederhana dalam masa terdekat.

“Ia disokong oleh peningkatan dalam perbelanjaan pelaburan, keadaan pasaran buruh yang memberangsangkan dan permintaan domestik menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, ekonomi negara berkembang 3.3 peratus tahun ke tahun pada suku tahun ketiga 2023 (ST3 2023), lebih tinggi berbanding 2.9 peratus yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya.

Menurutnya, pengembangan ekonomi pada suku tahun ini didorong oleh permintaan domestik khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan.

Dalam pada itu, Mohd Uzir memaklumkan Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia mengekalkan lebihan pada ST3 2023 dengan merekodkan RM9.14 bilion berbanding RM19.0 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Lebihan tersebut disokong oleh eksport bersih barangan. Pelaburan Langsung Asing (FDI) juga merekodkan aliran masuk bersih yang lebih rendah RM7.2 bilion berbanding RM9.6 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih RM13.4 bilion pada suku tahun ketiga 2023 (ST2 2023: RM8.0 bilion),” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, hasil bagi sektor perkhidmatan tumbuh 4.4 peratus kepada 146.7 mata pada suku tahun ini.

Tambahnya, hasil bagi sektor perkhidmatan meningkat 7.6 peratus tahun ke tahun pada ST3 2023 untuk merekodkan RM584.0 bilion.

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, berdasarkan situasi tenaga buruh semasa, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.6 peratus kepada 16.25 juta orang pada suku sama.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan sesebuah ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan terus meningkat 0.2 mata peratus kepada 67.7 peratus (ST2 2023: 67.5 peratus).

“Pada suku tahun ini, kadar pengangguran bertambah baik kepada 3.4 peratus berbanding 3.7 peratus yang dicatatkan pada suku tahun ketiga 2022 (ST3 2022) menurun 38,800 orang penganggur (ST3 2022: 611,800 orang),” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut memberitahu bahawa jumlah dagangan Malaysia merosot 15.7 peratus pada ST3 2023 dengan eksport menurun (15.2 peratus) manakala import menguncup (16.3 peratus).

Menurutnya, penurunan berkenaan disebabkan kesan daripada lebihan dagangan yang mencatatkan penyusutan 9.1 peratus.

Jelas Mohd Uzir, prestasi perdagangan barangan pada September dengan eksport dan import masing- masing menurun 13.7 peratus dan 11.1 peratus, jumlah dagangan menyusut 12.6 peratus tahun ke tahun.

“Pada masa sama, lebihan dagangan merosot 23 peratus. Pada Oktober, prestasi perdagangan Malaysia terus menunjukkan penurunan yang lebih kecil.

“Jumlah dagangan, eksport dan import mencatatkan penurunan satu digit yang pertama sejak Mei 2023 dengan masing-masing merekodkan 2.4 peratus, 4.4 peratus dan 0.2 peratus. Sementara itu, lebihan dagangan merosot 30.3 peratus,” katanya.

-tamat-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!