Gaza jadi medan uji mesin pembunuh

Tentera Israel berjalan melepasi warga Palestin yang melarikan diri ke utara di sepanjang jalan Salahuddin di daerah Zeitoun di pinggir selatan Kota Gaza pada Selasa. - Foto AFP
Tentera Israel berjalan melepasi warga Palestin yang melarikan diri ke utara di sepanjang jalan Salahuddin di daerah Zeitoun di pinggir selatan Kota Gaza pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

PADA 22 Oktober lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengeluarkan rakaman menunjukkan unit komando Maglan menggunakan bom mortar 120 milimeter (mm) berpandukan ketepatan baharu digelar Iron Sting ke atas pejuang Hamas di Gaza.

Pengeluar bom, Elbit Systems yang berpusat di Haifa telah mengiklankan kualiti senjata itu menerusi laman web mereka sejak Mac 2021 apabila ia disepadukan ke dalam IDF.

Menteri Pertahanan, Benny Gantz yang kini menjadi sebahagian ‘kabinet perang’ pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pernah menggambarkan Iron Sting direka untuk mengenai sasaran dengan tepat di kawasan terbuka dan persekitaran bandar.

Penganalisis percaya Israel sebenarnya sedang menguji mesin pembunuh ke atas penduduk Palestin melalui kempen pengeboman dahsyat ke atas wilayah terkepung itu sebagai tindak balas ke atas Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.

Dakwaan itu mungkin ada kaitan dengan insiden pemandu teksi, Ahmed Saeed al-Najar ketika kenderaan dipandunya dibedil roket dron, Spike yang boleh diubah suai dan berupaya membawa ribuan kiub tungsten 3mm semasa konflik di selatan Gaza tercetus pada 2014.

Doktor warga Norway yang berkhidmat di Gaza, Erik Fosse berkata, impak senjata itu boleh menyebabkan tisu terkoyak daripada daging dan berupaya menghancurkan sesiapa sahaja berada dalam lingkungan sasaran.

Al-Najar terselamat dalam kejadian itu walaupun melecur teruk dan hilang mata kanan serta kudung sebelah kaki.

Pada tahun sama, dron yang membawa roket Spike itu telah menerima permintaan tinggi dari negara lain setelah ‘fasa ujiannya’ berjaya.

Artikel Berkaitan:

“Setiap peperangan ke atas Gaza, pelbagai senjata dan teknologi pengawasan telah digunakan terhadap penduduk Palestin yang kemudiannya dipasarkan serta dijual kepada sejumlah besar negara di seluruh dunia,” kata wartawan bebas dan penulis The Palestine Laboratory, Antony Loewenstein.

Selepas Operasi Perlindungan Sempadan atau Perang Gaza 2014, pasaran eksport senjata Israel berkembang menerusi promosi melampau berdasarkan keputusan ‘ujian sebenar’ dilakukan ke atas penduduk Palestin.

Namun, urus niaga industri pertahanan Israel kekal sulit di mata umum.

Rejim Tel Aviv dipercayai membekalkan senjata pembunuh ke beberapa negara terlibat konflik seperti Afrika Selatan, Rwanda dan junta Myanmar.

Laporan Amnesty International pada 2019 mendapati keseluruhan proses penjualan senjata Israel dilakukan secara rahsia tanpa sebarang dokumentasi.

Peraturan kerajaan ‘ekstremis’ baharu diperkenalkan pada 2022 juga membolehkan Tel Aviv menjual lebih banyak senjata tanpa lesen secara lebih meluas.

Selama bertahun-tahun, Israel telah menguji peluru getah, senjata robot berkuasa kecerdasan buatan dan pelbagai kaedah lain ke atas penduduk Palestin.

“Penembak tepat Israel sengaja menyasarkan bahagian sendi mangsa untuk menyebabkan kecederaan serius sukar dirawat tanpa membunuh mereka,” kata pakar bedah ortopedik, Nabeel al-Shawa.

Persoalannya, adakah wajar tindakan menggunakan keputusan ujian sebenar ke atas sasaran tidak bersenjata bagi membuktikan kehebatan senjata keluaran Israel.

“Anda boleh lakukan ujian di makmal, namun Israel memilih mengujinya di lapangan atau dalam pertempuran sebenar,” kata penganalisis geopolitik dan keselamatan, Zoran Kusovac.

Akhir bulan lalu, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra mendakwa pasukan perubatan percaya kesan melecur pada korban kekejaman rejim Zionis berpunca daripada senjata tidak diketahui atau tidak pernah dilihat dalam konflik sebelum ini.

Dakwaan itu turut diperkuatkan lagi dengan pendedahan Dr Ahmed el-Mokhallalati daripada Jabatan Melecur dan Pembedahan Plastik di al-Shifa yang menggambarkan kesan luka sangat serius dengan tisu kulit diresapi zarah hitam serta terbakar sehingga ke tulang.

“Ia bukan kesan melecur akibat bom fosforus tetapi gabungan beberapa jenis gelombang bom pembakar dan komponen lain,” ujarnya.

IDF tidak mengiyakan atau menafikan perkara itu tetapi penggunaan bom misteri seperti Iron Sting dan dron Spike dalam konflik sebelum ini seakan-akan membuktikan rejim Zionis sekali lagi menguji senjata baharu pada peperangan kali ini.

Senjata Israel akan terus menarik pembeli antarabangsa berdasarkan ‘prestasi’ yang telah meragut lebih 15,000 nyawa di Genting Gaza.

Hakikatnya, ia bukan hanya melibatkan urus niaga senjata, malah rejim Tel Aviv sebenarnya menjual ‘ideologi mesin pembunuh’ kepada negara lain.

* Marlissa Kamal ialah wartawan Meja Global Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!