Kerajaan perlu bijak urus pelaburan RM347 bilion
SHAH ALAM - Kebijaksanaan kerajaan dalam dalam menguruskan komitmen pelaburan antarabangsa bernilai RM347 bilion akan menjadi kayu pengukur sejauh mana ia mampu memperkasakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, meskipun jumlah itu bukan yang tertinggi dalam sejarah pelaburan luar negara, ia akan menjadi landasan dan keyakinan pelabur luar terhadap kemampuan ekonomi Malaysia di bawah kepimpinan baharu.
Justeru menurutnya, kerajaan perlu bijak dalam memastikan komitmen pelaburan tersebut berjaya direalisasikan mengikut tempoh masa yang dipersetujui.
“Pelbagai kemungkinan boleh berlaku yang akan mempengaruhi komitmen pelaburan ini.
"Justeru, kerajaan perlu bijak dalam menguruskannya agar berjaya dilaksanakan mengikut kos dan tempoh masa yang dipersetujui.
“Jika ini dapat dilakukan, ia akan mempengaruhi pertumbuhan KDNK negara dan secara tidak langsung mampu tingkatkan kekuatan ringgit berbanding dolar Amerika di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Seterusnya menyumbang pertumbuhan permintaan dan penawaran barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!