Wanita India dinobat simpan rambut terpanjang di dunia
NEW DELHI - Seorang wanita dari Uttar Pradesh, India memegang Guinness World Record (GWR) apabila dinobatkan memiliki rambut terpanjang di dunia dan masih hidup.
Smita Srivasta, 46, dikatakan menahan keinginan memotong rambut sejak berusia 14 tahun dan panjang rambut terkini 2.3 meter.
Srivasta berkata, idea menyimpan rambut panjang itu selepas melihat rambut seorang pelakon wanita terkenal pada tahun 1980-an.
"Dalam budaya India, dewi menyimpan rambut panjang manakala tradisi kami memotong rambut dianggap tidak 'menguntungkan'.
"Sebenarnya rambut panjang meningkatkan kecantikan setiap wanita," katanya.
Menurut GWR, Srivasta mencuci rambutnya dua kali seminggu.
Keseluruhan proses seperti mencuci, mengeringkan, meleraikan kekusutan dan menggayakan rambutnya akan mengambil masa tiga jam.
Semasa mencucinya, dia mengambil masa 30 hingga 45 minit dan selebihnya mengambil masa dua jam.
"Saya meletakkan rambut atas cadar katil untuk meleraikan rambut sambil berdiri atas katil," tambahnya.
Menurutnya lagi, setiap kali dia keluar dari rumah, orang ramai kelihatan 'kagum' dan mereka menyatakan tidak percaya melihat wanita zaman moden masih menyimpan rambut panjang.
"Orang ramai datang kepada saya, mereka menyentuh rambut, mengambil gambar dan berswafoto dengan saya selain bertanyakan produk untuk merapikan rambut supaya nampak cantik dan berkilat.
"Saya memberitahu rahsia mengenai penjagaan rambut dan ada segelintir daripada mereka menyatakan niat untuk melakukan perkara sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!