121 rakyat Malaysia terkandas di Laukkaing selamat tiba di tanah air

Mohamad Alamin menyambut ketibaan 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar.
Mohamad Alamin menyambut ketibaan 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 3.24 pagi Jumaat.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan kesemua yang disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di utara Myanmar itu dibawa pulang ke tanah air melalui penerbangan khas dari Kunming, China.

Daripada jumlah itu, seramai 54 orang dari Sarawak, Perak (22), Kuala Lumpur (10), Pulau Pinang (lapan), Pahang dan Johor (tujuh), Negeri Sembilan dan Selangor (empat) serta dua dari Terengganu.

Sementara itu masing-masing seorang dari Kedah, Kelantan dan Melaka.

Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming telah berjaya menyelaras misi evakuasi tersebut dengan baik melalui sempadan Myanmar-China bermula pada pagi 30 November dengan kerjasama dan kelulusan dari negara-negara yang terlibat.

Seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar selamat tiba di KLIA jam 3.24 pagi Jumaat.
Seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar selamat tiba di KLIA jam 3.24 pagi Jumaat.

"Tindakan evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan kedua-dua Naib Premier China, Liu Guozhong dan Ding Xuexiang semasa lawatan rasmi ke China pada 16 November lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua warganegara Malaysia yang terkandas telah diberikan bantuan konsular dan logistik setelah memasuki sempadan negara China oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming termasuk penyelarasan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Cangyuan Washan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui.

"Kerajaan Malaysia juga turut membawa pulang seorang warga Indonesia dari Laukkaing setelah menerima permohonan rasmi dari Kerajaan Republik Indonesia," kata Wisma Putra.

Dalam pada itu, Wisma Putra merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berwajib di Myanmar dan China serta agensi kerajaan Malaysia dan pihak persendirian yang terlibat secara langsung atau tidak atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Wilayah Laukkaing dilapor bergolak ekoran perang saudara yang tercetus sejak hujung Oktober lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!