Tiga pasukan pelajar rai kejayaan, terima geran SDYIC
PETALING JAYA - Program Sime Darby Young Innovators Challenge (SDYIC) Edisi ke-8 menyaksikan tiga pasukan dari tiga buah sekolah berjaya meraih geran inovasi berjumlah RM45,000 bagi mengembangkan prototaip inovasi mereka untuk manfaat masyarakat tempatan.
Tiga pasukan terbabit iaitu MIND BENDERS dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Johor; INSLABBY dari SMK Tengku Lela Segara, Terengganu dan BITARA dari SMK Tung Hua dari Sarawak.
Yayasan Sime Darby (YSD) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ketiga-tiga pasukan dari sekolah berkenaan telah berjaya menghasilkan prototaip untuk manfaat komuniti mereka selaras dengan matlamat penganjuran SDYIC.
“SDYIC merupakan program perdana tahunan YSD bertujuan untuk memupuk minda inovatif serta kemahiran penyelesaian masalah di kalangan pelajar sekolah menengah.
“Dengan tema 'Help a Person, Chage the World' penganjuran SDYIC itu diadakan bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia untuk menggalakkan pelajar merangka penyelesaian terhadap cabaran tempatan sambil menanamkan rasa tanggungjawab dengan mengimplementasikan ciptaan di dalam komuniti mereka,” kata kenyataan itu.
Majlis perasmian kemuncak SDYIC Edisi ke-8 itu dirasmikan oleh Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar pada 21 November lalu.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Bahagian Teknologi dan Sumber Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainal Abas dan Timbalan Pengarah Bahagian Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) KPM, Ts Supian Mahmood serta para pengurusan kanan Sime Darby.
Ketiga-tiga pasukan telah memenangi geran inovasi dari YSD bagi mengembangkan lagi prototaip mereka untuk fasa penerimaan projek mereka kepada penduduk tempatan.
Dalam cabaran itu, INSLABBY berhasil menunjukkan prototaip untuk menangani isu sisa air komuniti setempat dengan mengimplementasikan mekanisme pengurangan pencemaran dan kitar semula air.
Sementara itu, BITARA menghasilkan inovasi pengesanan awal banjir kilat dan secara automatik menutup kuasa elektrik bagi melindungi nyawa dan harta benda awam.
MIND BENDERS dari Johor pula berjaya menghasilkan prototaip bagi penyelesaian kos efektif pemilik gerai kecil dengan mengenal pasti corak unik mata wang untuk mengesan wang palsu.
Sebanyak 15 pasukan finalis telah dinilai dan disenarai pendek oleh panel hakim yang terdiri para pegawai daripada KPM, Sime Darby Plantation, Sime Darby Berhad, Perbadanan Ekonomi digital Malaysia (MDEC), Persatuan STEM Kebangsaan, Yayasan Didik Negara, Rentwise dan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS).
Dalam perkembangan lain, YSD dan KPM dalam majlis yang sama turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasakan pendidikan TVET di samping menjalin perkongsian strategik menyediakan tenaga kerja pada masa depan sekali gus menyokong pembangunan modal insan negara.
MoU itu diwakili Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin manakala KPM diwakili oleh Ts Supian bagi pihak Pengarah BPLTV, Ts Zulkernai Fauzi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!