Jangan jual, beri pinjam kenderaan pada warga asing

Lokman (kanan) memeriksa lesen seorang penunggang motosikal ketika Ops Patuh di tol Senawang.
Lokman (kanan) memeriksa lesen seorang penunggang motosikal ketika Ops Patuh di tol Senawang.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai supaya tidak menjual atau memberi pinjam kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu.

Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia jelas melanggar peraturan dan undang-undang.

"Kita mengesan terdapat kenderaan dijual (secara) tidak sah kepada warga asing tanpa menukar nama dan masih berada di bawah pemilikan warganegara.

"Kita akan menyita kenderaan itu dan pemilik juga akan diambil tindakan, begitu juga pemilik yang membenarkan kenderaan mereka digunakan oleh warga asing tanpa lesen sah," katanya pada sidang akhbar Ops Patuh di Tol Senawang di sini, malam Khamis.

Menurutnya, dalam tempoh Ops Patuh yang dilaksanakan selama 29 hari bermula 1 November lalu, sebanyak 5,811 notis kesalahan membabitkan pemandu warga asing dikeluarkan yang kebanyakannya membabitkan motosikal.

Sementara itu katanya, secara keseluruhan sebanyak 122,208 notis dikeluarkan kepada pemandu yang tidak mematuhi syarat dan peraturan jalan raya ditetapkan membabitkan pemeriksaan 719,766 kenderaan.

"Kesalahan itu dikesan berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).

Lokman Jamaan bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar Ops Patuh di tol Senawang di sini pada Khamis malam.
Lokman Jamaan bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar Ops Patuh di tol Senawang di sini pada Khamis malam.

Artikel Berkaitan:

"Antara (kesalahan) tertinggi direkodkan adalah teknikal (28,192) seperti tayar botak, pengubahsuaian kenderaan motosikal, tiada CDL (28,039), lesen kenderaan motor tamat tempoh (20,537) dan lain-lain kesalahan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati tahap pematuhan di bawah akta itu masih rendah iaitu 25 peratus jumlah kesalahan dikesan berdasarkan kenderaan diperiksa.

Ujarnya, jika dibandingkan 10 kenderaan diperiksa, sekurang-kurangnya dua kenderaan didapati melakukan kesalahan.

"Kita juga mendapati tiga peratus kesalahan yang membabitkan tingkah laku pemandu, antara tertinggi direkodkan adalah tidak memakai tali pinggang keledar iaitu (1,388) dan melanggar lampu isyarat merah (791) yang menjadi punca utama menyebabkan kemalangan maut," katanya.

Selain itu katanya, JPJ turut mengenakan sejumlah 2,360 mata demerit di bawah Sistem Kesalahan Jalan Raya(Kejara) bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 1,966 pemegang lesen dikenakan amaran dan enam pemegang lesen pemandu percubaan (PDL) dibatalkan.

"Bagi pemegang lesen CDL pula, seramai 333 orang dikenakan penggantungan kali pertama iaitu selama (8 bulan), 49 orang penggantungan kali kedua selama (10 bulan) dan lima orang penggantungan kali ketiga selama (12 bulan)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!