Musnahnya hak asasi yang dimegahkan
PENINDASAN ke atas rakyat Palestin oleh rejim Zionis semakin berleluasa. Agensi berita Anadolu melaporkan mulai 23 November kabinet Israel bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata bersama Hamas selama empat hari sebagai pertukaran pembebasan tahanan rejim itu. Sepanjang tempoh tersebut, tiada pertempuran membabitkan Israel ke atas Palestin.
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa tenteranya akan meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza walaupun gencatan senjata dipersetujui dengan Hamas.
Hakikatnya saban hari, dunia dipaparkan dengan kekejaman Zionis ke atas rakyat Palestin menerusi pelbagai perbuatan keji.
Namun isu-isu seperti ini sentiasa dikaburkan oleh media barat supaya dapat mengelirukan masyarakat di seluruh dunia dengan alasan untuk menuntut asasi manusia di bawah pemerintahan Israel.
Sedangkan mereka telah lupa bahawa orang-orang Israel telah melenyapkan hak asasi bagi penduduk di Palestin melalui pelanggaran perjanjian perdamaian yang telah dilakukan oleh kedua belah pihak sebelum ini secara mutlak.
Selama mana kekejaman tentera Zionis ini masih bermaharajalela dalam mengoptimumkan penguasaan mereka ke atas Palestin, selagi itulah nilai hak asasi manusia di Palestin tidak dipedulikan.
Tindakan Israel mengebom Palestin pada Oktober lalu, telah menunjukkan kelemahan dan kepura-puraan kuasa besar dan badan antarabangsa dalam menoktahkan kekejaman rejim Zionis sama ada di Semenanjung Gaza mahupun di Tebing Barat.
Walaupun menerima desakan hangat dari seluruh dunia, namun situasi di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat semakin teruk dari hari ke hari.
Penjara terbuka
Sehingga artikel ini ditulis, lebih 10,569 rakyat Palestin terbunuh termasuk 4,324 kanak-kanak dan 2,823 wanita. Manakala lebih 2,400 penduduk terperangkap di bawah runtuhan akibat serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.
Dalam pada itu, 28,137 orang mengalami kecederaan, tiada kemudahan rawatan untuk 50,000 wanita mengandung dan 350,000 pesakit kronik terputus bekalan perubatan.
Bandar yang dihuni kira-kira 2.3 juta penduduk itu, sering dirujuk sebagai penjara terbuka, kini telah terkepung sepenuhnya. Segala bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api semakin kehabisan, manakala konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya mampu menampung sebahagian kecil barangan yang diperlukan.
Palestin adalah sebuah negara Islam yang telah menzahirkan sikap ketidakadilan sebuah kepimpinan dunia dalam mengangkat nilai-nilai hak asasi manusia. Krisis Palestin dan Israel sudah berlanjutan sekian lama.
Sepanjang krisis ini berlalu, kehidupan manusia banyak dihiasi dengan kekejaman dan kezaliman serta pertumpahan darah dalam kalangan rakyat Palestin oleh tentera Zionis yang menggambarkan bahawa pembunuhan itu sudah menjadi kelaziman dan mengumpamakan tentera Zionis bertindak selaku 'Tuhan' yang mengambil nyawa manusia yang ingin menghirup udara sisa kehidupan.
Konflik ketegangan ini bermula selepas sahaja pimpinan dunia mengangkat Israel selaku negara dunia rasmi pada 15 Mei 1948 dan sepanjang mereka diiktiraf sebagai sebuah negara, tidak ada satu cebisan nilai keadilan dalam masyarakat yang diamalkan oleh negara Zionis ini.
Perkara ini sehinggakan menjadi satu tanda tanya keberadaan kuasa dunia yang sibuk melaungkan demokrasi serta penjagaan hak asasi manusia dalam kalangan masyarakat dunia, namun isu pertumpahan darah di Palestin dan Gaza diumpamakan tiada perkara yang terjadi di sana.
Palestin dimuliakan ALLAH
Palestin adalah sebuah negara yang dimuliakan oleh ALLAH SWT. Ia menjadi lokasi ketiga yang istimewa bagi umat Islam serta menjadi kiblat pertama bagi orang Islam sebelum ditukar ke Masjidil Haram.
Sebelum penjajahan British dan Israel, negara Palestin berada di bawah naungan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah.
Orang Yahudi menakluk kota ini untuk mewujudkan suasana tegang dalam masyarakat terutama antara golongan Islam dengan golongan bukan Islam, tetapi isu di Palestin pada asasnya bukan dikaitkan dengan isu agama akan tetapi perkara ini melibatkan isu kemanusiaan.
Hak asasi manusia adalah satu perkara yang merangkumi keseluruhan aspek dalam kehidupan hak sivil manusia. Dalam erti kata mudahnya, manusia dilahirkan dalam keadaan yang sama, malah mereka memiliki hak-hak yang sama seperti kebebasan dalam menjalani kehidupan yang diimpikan, kebebasan untuk bersuara dan kebebasan untuk memiliki harta serta seangkatan dengannya.
Perkaitan hak asasi dengan isu di Palestin adalah isu yang merangkumi hak seseorang manusia yang seharusnya dijaga oleh pihak berkepentingan demi kelangsungan bersama. Dalam erti kata lain, setiap manusia perlu saling menghormati hak masing-masing antara satu sama lain.
Menurut Islam, hak kemanusiaan merujuk kepada hak asasi yang diberikan oleh ALLAH kepada setiap manusia, tanpa mengira bangsa, agama, jantina, atau latar belakang sosok individu. Ini termasuk hak untuk hidup, kebebasan, kesetaraan, dan martabat manusia yang diakui secara universal.
Dalam Islam, hak kemanusiaan telah dijamin oleh syariat dan nilai-nilai moral yang ditegakkan dalam agama. Hak kemanusiaan dalam Islam juga menekankan pentingnya penghormatan terhadap hak-hak individu, serta keadilan dan kesetaraan dalam perlakuan terhadap sesama manusia. Penerapan hak kemanusiaan dalam Islam haruslah dilakukan dengan penuh kasih sayang dan saksama.
Menangani konflik di Palestin bukanlah perkara yang mudah tanpa adanya sokongan semua. Kepimpinan dunia seharusnya bermuhasabah kembali dalam menangani isu ini demi kesejahteraan sejagat.
***Muhammad Aiman Jaffar ialah mahasiswa tahun 3, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya & Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor merupakan Ketua Jabatan, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!