Karangkraf tawar diskaun 15 peratus, 20 judul baharu di SIBF 2023
SHAH ALAM - Grup Buku Karangkraf menawarkan potongan harga sebanyak 15 peratus untuk semua pembelian sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF 2023).
Penolong Pengurus Jabatan Pemasarannya, Anis Syamila Abdul Halim berkata, potongan harga tersebut boleh dinikmati oleh pembaca selama 10 hari bermula 1 hingga 10 Disember ini.
Menurutnya, selain mendapatkan harga istimewa, Karangkraf juga turut membawakan 20 judul baharu kepada pembaca.
"Kali ini cukup istimewa kerana kita bawakan 20 judul baharu untuk pengunjung yang hadir.
"Tawaran potongan harga sebanyak 15 peratus bagi setiap item pembelian di reruai kami hanya boleh dinikmati sempena pesta buku sahaja.
"Jumlah sasaran jualan pada hari pertama ini adalah sebanyak 1,000 naskah," katanya kepada Sinar Harian sempena SIBF 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, menurut Anis, antara genre yang boleh didapati di reruai Karangkraf adalah novel seram, novel kekeluargaan, bahan bacaan umum, buku Islamik,al-Quran dan juga buku kanak-kanak.
Ujarnya, pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah untuk pembelian sebanyak RM100.
Jelasnya, dengan pelbagai aktiviti yang berlangsung di reruai Karangkraf, ia mampu mengeratkan hubungan antara penerbit dengan pembaca setia mereka.
"Pilihan buku yang kita bawakan kali ini merangkumi semua genre mengikut peringkat umur. Jadi banyak pilihan kepada pembaca.
"Aktiviti menarik di reruai kami selain dapat diskaun, pengunjung juga berpeluang memenangi enam hadiah istimewa dalam acara cabutan bertuah.
“Pada Sabtu dan Ahad pula kita akan adakan sesi bersama 12 orang penulis selama 10 hari di sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!