Penduduk mengeluh banjir termenung tidak selesai
KOTA BHARU - Lebih 350 penduduk di Taman Bator Harmoni, Bachok hanya mampu mengeluh selepas usaha mereka bertemu beberapa agensi untuk menyelesaikan masalah banjir termenung di kawasan itu tidak membuahkan hasil.
Mereka mendakwa, banjir yang dialami kira-kira 11 tahun lalu mengakibatkan banyak kerugian dialami kerana setiap tahun berdepan masalah sama.
Seorang guru, Baihaqi Ismail, 43, berkata, masalah yang dihadapi sejak 2014 itu masih belum selesai dan penduduk juga berdepan kebimbangan setiap kali musim tengkujuh.
"Tahun lepas saya alami kerugian lebih RM15,000 akibat kerosakan teruk membabitkan perabot dan peralatan elektrik," katanya.
Seorang lagi penduduk, Kamalrizan Khauzi, 43, mendakwa tahun lepas banjir mengambil masa dua hingga tiga hari untuk surut dan kami terpaksa bermalam di PPS.
Katanya, hujan lebat beberapa hari menyebabkan air naik sehingga 0.3 meter di dalam rumah.
"Banyak barang musnah dan kami terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli keperluan rumah yang baharu selepas banjir," ujarnya.
Dalam pada itu, pengerusi taman berkenaan, Norazman Mohd Azmi, 57, berkata, sebanyak 89 rumah berdepan banjir jika berlaku hujan lebat dan sebahagian daripada mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Saya sudah bertemu dengan beberapa agensi yang dikatakan boleh membantu menyelesaikan masalah penduduk," katanya.
Menurut beliau, mereka kemudian sepakat bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang yang hadir meninjau kawasan berkenaan.
"Kami harap ada sinar baharu tahun depan dan banjir yang berlaku tidak akan melimpah ke kediaman kami," katanya.
Sementara itu, Zameri yang meninjau kawasan berkenaan akan cuba membantu menyelesaikan masalah penduduk dan meninjau tali air yang didakwa menjadi punca banjir.
"Berdasarkan tinjauan, punca limpahan air ialah dua pembetung kecil yang tidak dapat menampung limpahan air apabila hujan lebat berterusan.
"Selain itu, penduduk turut memberi cadangan supaya menaik taraf pembetung berkenaan melalui pembinaan bentuk U atau V.
"Insya-ALLAH beberapa agensi akan bersama dalam mesyuarat yang akan diadakan nanti," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!