Kedah Aerotropolis ambil kira dapatan kajian NASP
KUALA LUMPUR - Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang sedang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan akan menilai keperluan sebenar projek pembangunan lapangan terbang termasuk Kedah Aerotropolis, menurut Kementerian Ekonomi.
Kementerian itu menjelaskan kajian yang dijangka siap pada awal Januari 2024 itu turut menilai pembangunan infrastruktur, keperluan ruang udara, ekonomi dan strategik projek pembangunan lapangan terbang negara.
"Dalam hubungan ini, cadangan pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis perlu mengambil kira dapatan kajian NASP dan akan hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian tersebut dimuktamadkan.
"Ini bagi memastikan pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis adalah komprehensif dan berdaya maju serta mempunyai kebolehupayaan dan pulangan/hasil yang mampan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara bertarikh 30 November 2023 yang disiarkan menerusi laman web Parlimen.
Kementerian Ekonomi memaklumkan demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris mengenai hasrat kerajaan bagi meneruskan projek Kedah Aerotropolis yang diletakkan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Kedah Aerotropolis adalah projek inisiatif kerajaan Kedah dan merupakan pembangunan berkonsepkan perbandaran moden melibatkan industri aeroangkasa, menurut Kementerian Ekonomi.
Cadangan pembangunan adalah di atas tanah yang belum pernah dibangunkan seluas 9,841 ekar (3,982.51 hektar) berdekatan kawasan daerah Kuala Muda yang bersempadan dengan daerah Kulim dan Baling.
"Projek tersebut dicadangkan untuk dilaksanakan melalui kaedah Kerjasama Awam-Swasta (PPP).
"Walau bagaimanapun, terdapat komponen yang perlu ditanggung oleh kerajaan Persekutuan, antaranya pengambilan balik tanah, penyediaan infrastruktur asas dan akses jalan serta operasi menara kawalan trafik dan akan melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan,” jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!