Perompak larikan AS$2.2 juta dari bank di India
NEW DELHI - Perompak bersenjata melarikan 188 juta rupee (AS$2.2 juta) dari sebuah bank di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan.
Rompakan itu berlaku di cawangan Punjab National Bank di daerah Ukhrul, 80 km dari ibu negeri Imphal, pada petang Khamis, lapor media tempatan pada Jumaat.
Cawangan itu menyimpan wang tunai Reserve Bank of India untuk diedarkan kepada bank dan mesin juruwang automatik (ATM).
Perompak mengurung pengawal keselamatan dan pekerja di dalam bilik air sebelum melarikan wang dari bilik kebal, lapor Agensi Berita PTI.
Manipur yang bersempadan dengan Myanmar, kini dilanda konflik etnik sejak pertempuran meletus antara majoriti masyarakat puak Meitei dan Kuki-Zo pada Mei tahun ini.
Negeri itu juga berhadapan masalah pemberontakan.
Pada Rabu, kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai United National Liberation Front (UNLF) bersetuju untuk menamatkan pemberontakan dalam 'perjanjian damai' penting dengan kerajaan India persekutuan dan pentadbiran Manipur. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!