Penduduk cemas air naik cepat, arus deras

Pasukan keselamatan memindahkan mangsa banjir di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang pada malam Khamis ke PPS di Kampung Cahaya Baru. (Gambar kecil: Zainab, Nurul Huda)
Pasukan keselamatan memindahkan mangsa banjir di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang pada malam Khamis ke PPS di Kampung Cahaya Baru. (Gambar kecil: Zainab, Nurul Huda)
A
A
A

PASIR GUDANG - Mangsa banjir di Kampung Sentosa Damai di sini berdepan detik cemas apabila banjir kilat naik sehingga hampir satu meter dengan arus deras di pekarangan rumah mereka dalam tempoh tiga jam hujan lebat pada malam Khamis.

Seorang penduduk, Zainab Mat, 57, berkata, hujan mula lebat pada jam 11 malam dan berlarutan sehingga jam 1 pagi mengakibatkan air naik dengan cepat selepas air sungai berhampiran dan parit depan rumah melimpah.

"Disebabkan keadaan tidak selamat pihak bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), polis dan pasukan keselamatan lain mengarahkan kami berpindah segera ke surau berdekatan sebelum ditempatkan di PPS (pusat pemindahan sementara) di kampung ini.

Penduduk dan kenderaan milik mereka dipindahkan ke Surau Al-Muazakkir Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang pada malam Khamis untuk sementara
Penduduk dan kenderaan milik mereka dipindahkan ke Surau Al-Muazakkir Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang pada malam Khamis untuk sementara

"Sebelum berpindah saya dan keluarga sempat menyimpan dokumen penting selain memindahkan pakaian dan beberapa perkakas rumah termasuk peti ais ke bahagian yang tinggi dalam rumah.

"Begitu juga motosikal dan kereta sempat diletak di kawasan atas bukit dengan bantuan pasukan keselamatan. Terima kasih kerana pantas membantu penduduk berpindah serta menyelamatkan harta benda mangsa banjir," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru di sini pada Jumaat.

Zainab merupakan seorang daripada 227 mangsa banjir melibatkan 80 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan kampung-kampung berdekatan yang dipindahkan ke PPS itu pada malam Khamis.

Dia yang merupakan suri rumah berkata, mujur penduduk kampung berkenaan sudah melakukan kerja-kerja gotong-royong membersihkan sampah dan kotoran yang tersekat di parit kampung tersebut beberapa hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada tiga anak itu berkata, sekiranya usaha tersebut tidak dilakukan, keadaan banjir kilat akan bertambah buruk dan tidak mustahil air akan naik lebih tinggi.

Ibu tunggal, Nurul Huda Abdul Rani, 57, bersyukur kerana semasa hujan lebat tidak berlaku air pasang dari kawasan laut di Kong Kong yang boleh menyebabkan banjir bertambah teruk sehingga menenggelamkan rumah.

"Semasa melihat sudah hujan pada jam 10 malam tadi saya menelefon anak lelaki yang sedang bekerja supaya balik ke rumah kerana tidak sedap hati. Air mula naik hampir separuh meter atau separas lutut di bahagian dapur," ujarnya.

Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang yang dinaiki air sehingga hampir 1 meter selepas hujan lebat selama beberapa jam pada malam Khamis
Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang yang dinaiki air sehingga hampir 1 meter selepas hujan lebat selama beberapa jam pada malam Khamis

Ibu kepada empat anak itu berkata, hanya bahagian dapur dinaiki air kerana bahagian rumah lain berada pada kedudukan tinggi selepas ditambak beberapa tahun dahulu.

"Sebelum tapak rumah ini ditambak rumah sering dinaiki banjir kilat dan perabot, perkakas rumah serta peralatan elektrik rosak. Bayangkan dulu bila beli barang baru dalam rumah selepas banjir, belum sempat habis bayar rosak lagi akibat banjir," katanya yang sudah 32 tahun menetap di kampung berkenaan.

Rahayu Supriyanto, 34, berkata, penduduk kampung berkenaan akan siap sedia setiap kali musim tengkujuh dengan berjaga pada sebelah malam supaya sentiasa peka keadaan semasa.

Dia yang mempunyai seorang anak dan bekerja menghantar murid kampung itu ke sekolah dengan menggunakan motosikal menyifatkan banjir kali ini paling teruk dalam tahun ini.

"Almari pakaian dan beberapa perkakas tidak sempat diselamatkan ke tempat tinggi. Punca banjir di kampung ini kerana sungai cetek dan parit kecil tidak dapat menampung kapasiti air," dakwanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!