Mindef sasar lebih 8,000 RKAT siap pada 2025

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) menyasarkan lebih 8,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) siap dibina menjelang 2025.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pada masa ini sebanyak 4,700 unit RKAT telah disiapkan secara berperingkat.

Beliau berkata, perumahan angkatan tentera merupakan antara tumpuan kementerian dalam menjaga aspek kebajikan anggota demi keselesaan mereka.

"Ini adalah aspek-aspek yang kita berikan penekanan supaya anggota pertahanan kita dapat keselesaan (memiliki rumah),” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM disiarkan di saluran TV1 hari ini sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani.

Adly berkata, selain RKAT, projek perumahan di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) juga sedang dibangunkan.

Beliau berkata, sebanyak 3,500 unit SASaR sedang dibina di Sungai Besi manakala 7,000 lagi dibina di Kem Wardieburn di sini dan di Genting Klang.

"Jika dilihat saiz rumah SASaR ini berkeluasan 1,000 kaki persegi maka harga sekitar RM150,000 di Kuala Lumpur.

"Memang itu keutamaan kementerian ini untuk memastikan kebajikan anggota-anggota tentera ini terbela dan terjaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kebajikan veteran tentera berpencen dan tidak berpencen, Adly berkata, kementerian itu menetapkan lima aspek penekanan antaranya memberi tumpuan kepada kebajikan, kesihatan, perumahan dan pendidikan.

"Sebelum ini kementerian ini memberi tumpuan kepada veteran berpencen namun pada kali ini veteran tidak berpencen juga mendapat bantuan sara hidup.

"Setakat ini, sebanyak 23,000 penerima bantuan sara hidup terdiri daripada veteran berpencen dan tidak berpencen. Bantuan ini akan dapat meringankan beban mereka,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!