Stadium Tuanku Abdul Rahman kekal rumput sedia ada

Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk mengekalkan penggunaan rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. (Gambar kecil: Musthapa)
Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk mengekalkan penggunaan rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. (Gambar kecil: Musthapa)
A
A
A

KERAJAAN Negeri Sembilan memutuskan untuk mengekalkan penggunaan rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini walaupun ditawarkan menukar rumput jenis Zeon Zoysia daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung oleh Negeri Sembilan jika menerima tawaran tersebut.

"Isunya adalah mengenai penyelenggaraan, apabila ditukar dengan rumput baharu, kos penyelenggaraan lebih kurang RM30,000 sebulan.

"Jadi kami buat keputusan untuk kekal dengan rumput sedia ada, ya ada masalah sedikit mengenai saliran tetapi ia boleh diperbaiki," katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, beberapa kerja menaik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman akan dimulakan dalam masa terdekat termasuk pemasangan kerusi di tempat duduk penonton membabitkan kira-kira 18,000 kerusi.

Katanya, ia dalam proses dan akan mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

"Facade (bahagian luaran) stadium ini juga kami mahu ia berwajah baharu, apabila sampai, ada aura baharu termasuk harapan baharu bagi pasukan bola sepak Negeri Sembilan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan hanya Sarawak yang menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran dan menggunakan rumput Zeon Zoysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, manakala Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang tidak bersetuju dan mahu mengekalkan penggunaan rumput sedia ada.

Jelas Hannah, negeri lain pula masih memerlukan lanjutan masa untuk membuat keputusan sehingga betul-betul yakin bahawa kos dan penyelenggaraan tidak membebankan pada jangka masa panjang.

KBS sebelum ini menyatakan bersetuju untuk membantu sebanyak 50 peratus kos penukaran rumput manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!