Negeri Sembilan umum bonus satu bulan setengah
SEREMBAN - Seramai 6,662 penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH- Sikamat) berkata, ia yang akan dibayar selewat-lewatnya penghujung bulan Februari 2024 dan penghujung bulan Mac 2024.
"Saya mewakili seluruh penjawat awam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas beberapa insentif khas untuk penjawat awam negeri seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 hari ini.
"Selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 iaitu “Bersama Membina Negeri Madani”, saya menyeru agar semua penjawat awam di Negeri Sembilan bersama-sama berganding bahu memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi mengukuhkan kegemilangan negeri demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan tahun 2024 pada Persidangan Belanjawan Ketiga (Belanjawan) penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau mahu penjawat awam berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mempertingkat produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Teruskan komitmen kita sebagai penjawat awam bagi mendukung aspirasi Kerajaan Negeri demi menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah negeri maju yang bersatu padu,bertoleransi, saling menghormati, bertamadun dengan ekonomi yang mampan dan kehidupan rakyat aman makmur serta sejahtera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!