Exco jawab dakwaan wad HSA teruk
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bangunan Utama Hospital Sultanah Aminah (HAS) sedang menjalani kerja menaik taraf dan menyebabkan beberapa wad terpaksa ditutup sementara.
Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon, hal berkenaan turut menyumbang kepada kesesakan di wad HSA.
“Baru selesai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) saya terus berkejar ke HSA melawat, kebetulan ni ada orang mendakwa fasiliti Wad HSA teruk pada media sosial.
“Bangunan Wad HSA dibina pada tahun 1994 dan beroperasi sehingga kini, bangunan dan juga fasiliti kesihatan sudah usang dan lama. HSA merupakan hospital utama negeri Johor, ia juga merupakan perkhidmatan perubatan yang paling lengkap di Johor.
“Ini juga menyebabkan wad HSA sentiasa penuh dan kadar penggunaan katil mereka juga telah melebihi 100 peratus yang menyebabkan kesesakan di wad.
"Seetiap wad dianggotai oleh enam jururawat yang perlu menjaga lebih kurang 40 pesakit pada satu masa dan ini menyebabkan mereka tidak dapat berehat pun dengan pelbagai kerja di wad,” katanya di laman Facebook miliknya pada Jumaat.
Tambah Tian Soon, kesemua jururawat berkenaan telah melakukan yang terbaik dan diharapkan agar kerja-kerja penaiktarafan dapat selesai dengan cepat agar dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan.
Sementara itu Tian Soon berkata, pihaknya akan bekerjsama dengan pihak HSA bagi melancarkan inisiatif ‘Wad Angkat.
“Inisiatif ini akan menggalakkan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat untuk ‘mengangkat’ wad di HSA dan seklai gus membantu menambah baik fasiliti dan keadaan wad kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!