Inisiatif MNSR: Menerokai kelestarian industri getah asli
BANGI - Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah memulakan inisiatif Projek Getah Asli Lestari Malaysia (MSNR) yang berpotensi mengubah landskap industri getah Negara demi manfaat pekebun kecil.
Projek ini dibangunkan dengan tujuan utama untuk menghasilkan getah yang memenuhi piawaian antarabangsa, serta memperkasa pekebun kecil dengan pelbagai manfaat yang berterusan.
Salah satu tonggak utama MSNR ialah peningkatan potensi pendapatan bagi pekebun kecil menerusi fokus terhadap pengeluaran getah berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan industri global.
Projek ini menjanjikan peningkatan harga pasaran yang akan secara langsung memberi impak positif kepada pendapatan pekebun.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Operasi) LGM, Hairul Irwan Jamaluddin menekankan bahawa pematuhan terhadap piawaian antarabangsa bukan sahaja meningkatkan kualiti tetapi juga membantu menstabilkan harga getah di pasaran global.
Aspek kelestarian turut menjadi fokus utama dalam MSNR, dengan prinsip seperti tiada pembalakan dan tiada penerokaan tanah.
Pendekatan ini tidak hanya menjamin kelestarian alam sekitar tetapi juga membuka pasaran baru bagi produk yang dihasilkan secara bertanggungjawab dan mesra alam.
Di samping itu, penglibatan Malaysia dalam badan-badan antarabangsa seperti Persatuan Getah Antarabangsa (IRA) dan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) serta kerjasama serantau seperti dalam Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Majlis Perniagaan Getah ASEAN (ARBC) menambah nilai dalam usaha meningkatkan perdagangan getah negara di peringkat antarabangsa.
Penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pengeluaran getah turut dilihat sebagai langkah progresif yang membolehkan pekebun kecil meningkatkan hasil dan kualiti produk mereka. Ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi tetapi juga meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.
MSNR juga menyediakan sokongan kepada pekebun kecil dalam menghadapi ketidakstabilan harga di pasaran global. Langkah ini penting untuk memastikan kestabilan ekonomi pekebun dalam menghadapi cabaran pasaran yang dinamik.
Pematuhan terhadap piawaian antarabangsa yang ditekankan dalam MSNR bukan sahaja membuka pasaran yang lebih luas tetapi juga menambah kredibiliti produk getah Malaysia, memperluas peluang perdagangan dan kerjasama antarabangsa.
Kesimpulannya, Projek Getah Asli Lestari Malaysia menjanjikan masa depan yang lebih cerah bagi pekebun kecil getah, dengan memberikan mereka akses kepada pasaran global, teknologi canggih, dan harga yang lebih stabil dan kompetitif. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan mereka tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar dan pengeluaran getah yang bertanggungjawab.
Kerjasama agresif pekebun kecil mampu perkasa pasaran domestik
BANGI - Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia Berhad (Mardec Berhad) yakin pasaran domestik industri komoditi itu dapat diperkasakan lagi menerusi kerjasama agresif melibatkan para pekebun kecil.
Demikian ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Mardec Berhad, Syed Mahdhar Syed Hussain yang mana pemerkasaan sektor industri itu mampu direalisasikan sekiranya para pekebun kecil terus menjual getah kepada Mardec Berhad yang terlibat aktif dalam proses pengeluaran komoditi itu.
"Kita mesti tahu tujuan asal penubuhan Mardec Berhad untuk meningkatkan produktiviti getah negara di samping memelihara kebajikan para pekebun kecil.
“Mardec Berhad menawarkan harga terbaik dengan diskaun yang minimum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Hala Tuju Penanam Getah Kecil Negara anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini.
Tambah Syed Mahdhar, usaha memperkasakan pasaran domestik getah itu perlu disusuli dengan menambah baik aspek pemasaran perniagaan yang harus dimulakan di peringkat akar umbi menerusi kaedah kawalan harga.
Malah, beliau berharap Majlis Getah Malaysia (MRC) dapat memberikan sokongan dengan membantu mempergiatkan aktiviti jualan komoditi getah Malaysia di melibatkan pasaran yang lebih luas menjangkau rantau Asia Tenggara.
“Pasaran ini boleh diperluaskan ke wilayah negara-negara Balkan, Rusia dan Timur Tengah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Mahdhar mahu para pekebun kecil terus membekalkan getah kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA bagi memastikan pendapatan tinggi yang berterusan pada masa hadapan.
Katanya, setiap kilogram (kg) getah yang dijual kepada agensi-agensi itu melayakkan para pekebun mendapat pelbagai insentif seperti pengeluaran lateks, getah sekerap, tanam semula dan sebagainya.
Reaksi:
“Kerajaan melalui kementerian bertanggungjawab harus mewujudkan situasi menang-menang antara pekebun kecil getah dengan industri berasaskan getah.” - Meor Harun Meor Osman, Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM).
“Saya juga berharap agar pihak LGM dan RISDA dapat membantu mempermudahkan urusan pengambilan getah di ladang-ladang berbanding pekebun menghantarnya.”- Hamidah Din, 59, pekebun kecil getah Kampung Temin, Perak.
“Kami bersyukur sekiranya pekebun kecil mendapat tambahan pendapatan di antara RM300 hingga RM350 sebulan apabila harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan kepada RM3 sekilogram tahun depan.” - Ramli Ibrahim, 69, pekebun kecil getah, Kampung Sik Dalam, Kedah.
Inisiatif ‘Jom Menoreh’ tingkat hasil getah pekebun kecil
BANGI - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah melaksanakan inisiatif ‘Jom Menoreh’ bagi meningkatkan sasaran pengeluaran getah negara kepada 900,000 metrik tan setiap tahun menjelang 2030.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah berkata, agensi itu telah mengenal pasti potensi kawasan bertoreh pekebun kecil untuk diusahakan bagi mencapai sasaran tersebut.
Inisiatif ‘Jom Menoreh’ itu katanya akan melibatkan tumpuan kepada empat kumpulan sasar iaitu peserta bantuan akhir tanam semula, peserta kebun getah tidak aktif, tanam semula berkelompok (TSB) matang dan peserta skim getah matang (SGM) berturut.
"RISDA harap dapat membuka 10,000 hektar kawasan baharu bertoreh setiap tahun dan meletakkan sasaran membuka semula 15,000 hektar kebun tidak aktif bagi tempoh sama.
“Malah, peserta yang mengaktifkan semula kebun mereka akan disediakan bantuan SGM, bimbingan dan khidmat nasihat serta Insentif Pengeluaran Getah Berkelompok (IPGB),” katanya semasa membentangkan kertas kerja mengenai “Strategi Meningkatkan Pengeluaran Getah Negara” dalam Seminar Hala Tuju Getah Negara di Bangi, pada Rabu.
Tambah Ahmad Zainal, meskipun statistik pengeluaran getah asli menunjukkan pola penurunan, namun situasi tersebut hanyalah bersifat sementara berdasarkan kepada permintaan serta penawaran pasaran semasa komoditi itu di peringkat global.
Sungguhpun begitu, peningkatan bekalan komoditi getah negara juga boleh ditingkatkan lagi dengan penyertaan lebih ramai generasi belia dalam sektor itu.
Justeru,bagi mencari jalan penyelesaian katanya, RISDA telah mengambil langkah melaksanakan program sokongan tenaga kerja merangkumi latihan kepada rakyat Malaysia berumur 18 hingga 50 tahun bagi memenuhi keperluan tersebut.
"RISDA sasar menyediakan 1,200 tenaga kerja setahun dan mencecah 8,400 orang menjelang 2030," jelasnya.
Selain itu katanya, RISDA turut menyediakan program pemberian insentif tunai kepada pekebun kecil dan penoreh yang menyertai program berkelompok atau jualan ke depo dengan kadar RM300 untuk tempoh enam bulan bagi getah sekerap manakala lateks dengan kadar sama untuk setahun.
Malah, inisiatif diusahakan itu mampu membina senario masa hadapan pekebun kecil yang progresif dan mencapai pengeluaran getah disasarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!