AEON 'kunci harga' 250 barang keperluan
AEON Co (M) Berhad atau AEON mengambil langkah proaktif dengan mengunci harga 250 barangan keperluan terpilih untuk tempoh tiga bulan bermula Jumaat (1 Disember 2023).
Inisiatif tersebut akan berlangsung di semua 28 AEON Mall dan 34 AEON stor seluruh negara hingga hujung Februari, tahun depan.
Barangan keperluan yang dikenal pasti antaranya ialah syampu, pelembut fabrik, sabun basuh, minyak masak, mi, susu dan banyak lagi.
Pengarah Urusan AEON, Keiji Ono berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian kempen 'Everyday Fresh Everyday Low Price' yang dilancarkan awal tahun ini.
Menurutnya, kempen itu sebagai komitmen pasar raya berkenaan membantu pelanggan menangani kenaikan kos sara hidup.
"Kempen ini bertujuan menyediakan pengalaman beli-belah tanpa kerisauan kepada pelanggan.
"Ia selari dengan komitmen AEON untuk memberi kepuasan kepada pelanggan serta menawarkan harga yang konsisten dan berpatutan tanpa mengorbankan kualiti barangan," katanya Majlis Pembukaan semula AEON Mall Cheras Selatan pada Jumaat.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
AEON Mall Cheras telah dibuka sejak 28 Disember 2006 dan kini berwajah baharu selepas proses naik taraf dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan pengalaman baharu termasuk kaunter pembayaran layan diri, dilengkapi tenaga solar di tempat letak kereta selain produk berkualiti tinggi di bawah jenama Home Coordy dan Inner Casual (iC).
AEON Mall Cheras Selatan juga memperkenalkan pelbagai produk jenama sukan bagi mencerminkan kesungguhannya mencipta sebuah destinasi buat pengunjung mendapatkan peralatan sukan mereka.
Sementara itu, Mohd Sayuthi berkata, pihaknya memuji langkah AEON yang menyahut inisiatif kerajaan bagi membantu meringankan beban dan menstabilkan kos sara hidup.
"Walaupun mungkin berlaku kenaikan harga tertentu tetapi AEON terus memberikan komitmen mengekalkan harga tersebut dalam tempoh tiga bulan.
"Saya berharap dengan promosi dan inisiatif ini, orang ramai dapat mengambil peluang mendapatkan harga murah dan berpatutan sepanjang kempen berlangsung," katanya.
Barangan terpilih tersebut boleh didapati di semua lokasi AEON dan MaxValu Prime di seluruh negara, serta di platform dalam talian, myAEON2go.
Pada majlis sama, Yayasan AEON Malaysia menyumbangkan RM30,000 kepada tiga organisasi kebajikan terpilih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!