Perubahan iklim: Tangani pelepasan daripada sektor tenaga, industri
Yang di-Pertuan Agong bertitah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan bahagian tenaga hijau dan mampan dalam jumlah campuran tenaga utamanya.
"Oleh itu, aspirasi peralihan ini diunjurkan meningkat dengan ketara, bukan hanya purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara daripada aktiviti peralihan tenaga tetapi juga menjana lebih banyak pekerjaan hijau untuk rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka pada perasmian Pavilion Malaysia pada Persidangan Pihak-Pihak ke-28 (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Al-Sultan Abdullah bertitah Malaysia telah menyatakan usahanya untuk menangani pemanasan global dengan mengemukakan sumbangan nasional yang ditentukan yang terkini pada 2021 berdasarkan prinsip tanggungjawab yang sama tetapi berbeza.
Seri Paduka bertitah tanpa pengecualian, setiap negara perlu menyumbang untuk memerangi perubahan iklim.
"Komitmen sedemikian melibatkan pelaksanaan dasar yang teliti apabila kebolehcapaian kewangan dan teknologi menjadi halangan tambahan untuk ekonomi membangun dan sedang pesat membangun.
"Oleh itu, merapatkan jurang dalam teknologi dan pembiayaan antara negara-negara maju dan membangun penting untuk menyediakan akses yang saksama kepada penyelesaian tenaga bersih pada kos berpatutan.
"Ini termasuk mengambil kira cabaran dan peluang unik yang dimiliki setiap negara,” titah Seri Paduka.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Bertemakan ‘Going Beyond: Green Growth, Resilient Community, Sustainable Planet’, Pavilion Malaysia di COP28, diterajui oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), menepati pendekatan negara terhadap isu iklim dan biodiversiti.
Pavilion ini berperanan sebagai manifestasi kerjasama, elemen teras dalam kebudayaan Malaysia, menyatukan pemimpin pemikir Malaysia dan antarabangsa dalam sektor awam, swasta dan sosial. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!