Rakyat perlu tolak kerajaan 'pilih kasih' - Tun M
KEMAMAN - Rakyat perlu menggunakan 'kuasa' yang ada untuk menolak kerajaan 'pilih kasih' terhadap negeri yang ditadbir pembangkang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sikap pilih kasih dengan menggunakan wang kerajaan adalah satu jenayah.
"Inilah jenis kerajaan yang ada sekarang. Sebab itu, kita perlu tentukan supaya mereka tidak mendapat sokongan daripada rakyat di Kemaman.
"Di Kemaman, kita sebenarnya ada seorang calon yang sebenarnya layak menjadi Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar). Kalau tak menyokong kerajaan, maka kita tak akan dapat bantuan.
"Wang yang sepatutnya diberikan kepada wakil rakyat daripada semua parti tetapi disekat oleh kerajaan ini. Melainkan mereka mendakwa kononnya menyokong Perdana Menteri, barulah boleh dapat bantuan yang sepatutnya mereka dapat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Dewan Terbuka Arena Square, di sini pada malam Jumaat.
Tambah Dr Mahathir, menggunakan wang untuk mendapatkan sokongan dan dilakukan secara terbuka dengan menggunakan wang negara adalah perbuatan rasuah.
"Kita dapati wang yang sepatutnya disampaikan kepada negeri-negeri ini tidak diberi dan ditangguh.
"Banyak peruntukan untuk Terengganu umpamanya, cukup untuk bayar gaji sahaja. Lain-lain kewangan yang patut diberi kepada Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis tidak diberi kerana kita tidak menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.
"Kalau sokong kerajaan ini atau calon mereka, bermakna kita izinkan kerajaan melakukan rasuah secara terbuka dengan menggunakan wang kerajaan supaya dapat sokongan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!