Demi watak 'Jeng Yah', Dian Sastrowardoyo hidup terasing 6 bulan
DEMI menjayakan watak Dasiyah atau Jeng Yah dalam siri Gadis Kretek, Dian Sastrowardoyo mendedahkan proses yang dilaluinya untuk dapat membawakan watak tersebut dengan lebih berkesan.
Menurut Dian, jurulatih lakonannya mengajar beliau menggunakan kaedah menggunakan 'pintu' untuk masuk ke dalam watak yang dilakonkan dan kemudiannya keluar.
"Ini sebenarnya lebih teknikal, di sini saya mendapat latihan lakonan daripada Rukman Rosadi yang turut berlakon dalam filem ini.
"Jadi dia menggunakan pendekatan kaedah lakonan yang menggunakan 'pintu'. Jadi ada dua pintu masuk watak dan keluar daripada watak.
"Secara peribadi, saya sangat menyukai kaedah ini, dan saya bercadang untuk mendalami kaedah ini dan menggunakannya untuk beberapa projek akan datang," katanya menerusi temu bual bersama Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai.
Bercerita lanjut, antara yang dilakukan untuk menjayakan watak Jeng Yah, Dian memutuskan hubungan dengan dunia luar untuk beberapa ketika.
"Salah satu contoh sejauh mana saya pergi dalam mengembangkan peranan saya, saya berhenti berjumpa rakan-rakan saya selama kira-kira enam bulan.
"Saya berhenti bersosial, saya berhenti berlari dan bermain tenis yang sangat saya sukai, kerana saya ingin melatih badan saya menjadi seperti di era itu.
"Saya berhenti mendengar muzik moden, saya hanya mendengar muzik gamelan dan muzik klasik selama beberapa bulan," katanya lagi.
Gadis Kretek merupakan drama bersiri terbitan Indonesia dan disiarkan di platform Netflix dan mendapat sambutan di beberapa buah negara termasuk Malaysia.
Selepas berjaya dengan watak Jeng Yah, Dian kini sedang menjalani pengambaran untuk siri Ratu Adil. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!