Nak cari ikan lauk tapi menang tempat pertama

Pengamal media bergambar bersama selepas berakhirnya Cabaran Memancing TNB-PTPTN Bersama Media di Kolam Pancing, Kampung Delek, Klang.
Pengamal media bergambar bersama selepas berakhirnya Cabaran Memancing TNB-PTPTN Bersama Media di Kolam Pancing, Kampung Delek, Klang.
A
A
A

KLANG - Modal dikeluarkan hanya kira-kira RM150 tetapi hadiah diperoleh RM2,000.

Itu rezeki buat seorang peserta, Mohd Nurakram Jamaluddin, 32, yang diumumkan juara Cabaran Memancing Tenaga Nasional Berhad (TNB) - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Bersama Media yang berlangsung di kolam ikan air masin, Kampung Delek, Klang semalam.

Nurakram wakil dari TNB memperoleh tempat pertama selepas berjaya menaikkan ikan kerapu harimau seberat 3.30 kilogram (kg).

“Saya sertai pertandingan ini untuk dapatkan ikan untuk dibawa pulang sebagai lauk dan tak terlintas pun untuk menang.

“Syukur alhamdulillah, tak sangka kemenangan memihak kepada saya dan ini juga rezeki untuk keluarga,” katanya yang berjaya menaikkan 11 ekor ikan keseluruhan.

Selaku juara, Nurakram membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan Cabaran Memancing TNB-PTPTN disempurnakan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MalaysiaGazette, Noraini Razak, cabaran memancing julung kali diadakan pihaknya itu bertujuan mengeratkan silaturahim sesama wakil media terutama mereka yang berkongsi minat sama.

Artikel Berkaitan:

“Pengusaha kolam menyediakan kira-kira 700 ekor ikan pelbagai spesies termasuk jenahak, kerapu, siakap dan siakap merah.

"Tahun depan, kita pasti akan anjurkan lagi selepas penaja utama, TNB bersetuju menaja sekali ganda jumlah tajaan,” katanya.

Seramai 50 peserta terdiri dari pelbagai media mengambil bahagian dalam Cabaran Memancing TNB-PTPTN yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM10,000.

Acara yang bermula kira-kira jam 9 pagi dan tamat jam 12 tengah hari turut memberi tuah kepada Mohd Haniff Salim, 44, dari Berita Harian apabila muncul naib juara selepas berjaya menaikkan siakap seberat 2.65kg, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500, SSPN bernilai RM7,500 dan cenderahati.

Navveen Shankar, 20, dari Makkal Osai pula yang berjaya menaikkan siakap merah seberat 1.95kg muncul pemenang tempat ketiga dan membawa hadiah berbentuk wang tunai RM200, SSPN bernilai RM500 serta cenderahati.

Selain hadiah wang tunai RM50 untuk tempat keempat hingga ke-10, penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuklah hadiah utama set televisyen pintar 40 inci.

Rakan penaja lain yang turut terlibat adalah Bernas, Adabi, Milo, MSM, Bank Islam dan Sherwanis Food Industries.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!