Guru popularkan getam Kelantan

Getam yang dihasilkan oleh Abdul Rashid.
Getam yang dihasilkan oleh Abdul Rashid.
A
A
A

KOTA BHARU - Usaha dilakukan seorang guru sains dan pendidikan jasmani memberi peluang kepada generasi muda mengenali getam yang suatu ketika popular sebagai pakaian diraja.

Abdul Rashid Othman, 43, mula belajar membuat lipatan tanjak getam enam tahun lalu dengan beberapa guru di sekitar Kelantan dan Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu (Pernilam) serta guru profesional dalam bidang itu.

Menurut Abdul Rashid, antara getam yang popular dan semakin dikenali ialah getam budu, getam bunga dan getam daun sireh.

"Tanjak dihasilkan daripada songket dan kain limar sepanjang kira-kira satu meter dan saya boleh menyiapkannya dalam tempoh antara satu hingga tiga hari," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau memberitahu, tugasan hakikinya di sebuah sekolah agama tidak pernah menjadi alasan beliau menyiapkan getam yang ditempah pelanggan.

Jelasnya lagi, bagi membolehkan tempahan disiapkan, getam dibuat pada sebelah petang selepas semua tugasan diselesaikan atau waktu malam dan cuti hujung minggu.

Bagaimanapun, kata Abdul Rashid, tempahan khas yang memerlukan tempoh segera akan disiapkan pada bila-bila masa mengikut waktu dijanjikan.

Katanya lagi, ramai dalam kalangan pengguna busana Melayu dari seluruh negara membuat tempahan getam selain mendapat perhatian golongan kenamaan dan kerabat diraja.

Artikel Berkaitan:

"Ada tempahan yang dibuat untuk dijadikan hadiah kepada pemimpin tempatan dan pasangan pengantin yang mahu kelihatan sedondon dengan pakaian pada hari istimewa," katanya.

Beliau juga berpendapat, tanjak melambangkan jati diri masyarakat Melayu dan wajar diperkenalkan kembali sebagaimana bangsa lain yang masih mengekalkan pemakaian busana tradisional mereka.

Getam kini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Getam kini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Bagi saya tanjak masih relevan dipakai dan kini semakin popular terutama dalam kalangan orang muda dan remaja," katanya.

Minat Abdul Rashid untuk menghasilkan tanjak getam berikutan ia merupakan salah satu warisan negeri Kelantan.

"Getam budu ini perlu dipulihara supaya tidak pupus di samping dapat menjana pendapatan sampingan," katanya.

Beliau menjual tanjak secara dalam talian melalui media sosial dan mendapat sambutan daripada orang ramai serta peminatnya yang tidak berkira dengan harga ditawarkan.

Tambahnya lagi, tanjak getam dijual pada harga RM150 hingga RM500 bergantung kepada jenis kain.

"Kain bertekstur lembut merupakan cabaran melipat getam namun ada juga yang meminta saya menghasilkannya kerana mahu menjadikannya sebagai kenangan daripada keluarga atau kain pusaka.

"Faktor kesihatan juga antara perkara yang perlu diambil kira selain kestabilan emosi bagi mendapatkan ilham membuat lipatan getam," katanya.

Kongsinya lagi, lipatan getam mempunyai beberapa kaedah tetapi perlu mengikut syarat ditetapkan iaitu perlu tinggi di bahagian depan dan rendah di belakangnya.

Selain itu katanya, getam perlu mempunyai tapak dan selalunya tapak biru-biru, simpul, selisih dan kipas digunakan dalam penghasilannya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!