Israel musnahkan 60 peratus rumah di Genting Gaza
KOTA GAZA - Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah memusnahkan lebih 60 peratus rumah dan unit kediaman di Genting Gaza.
Menurut pejabat media kerajaan Gaza pada Khamis, tindakan rejim Zionis itu menyebabkan penduduk berdepan dengan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing terutama di wilayah utara Gaza.
Selain itu, lebih 26 hospital dan 55 pusat kesihatan terpaksa menutup operasi sama ada akibat bedilan bom, ditawan atau dimusnahkan.
Tambah kenyataan itu, Gaza memerlukan 1,000 trak setiap hari untuk mengangkut bantuan yang diperlukan dan satu juta liter bahan api setiap hari diperlukan bagi memulakan fasa pemulihan.
Penduduk di wilayah berkenaan juga memerlukan lebih banyak hospital medan, dilengkapi dengan peralatan perubatan untuk membantu puluhan ribu mangsa yang cedera.
Justeru, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa merangka segera satu pelan menyelamat bagi mencari penyelesaian kepada krisis kemanusiaan secepat mungkin.
Ia bagi membantu lebih daripada seperempat juta keluarga yang rumah mereka musnah atau rosak. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!