Kelantan United kena 'belasah' di laman sendiri
HASRAT Kelantan United Football Club (KUFC) untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan terakhir selaku tuan rumah di Stadium Sultan Muhammad ke IV lebur apabila 'dibelasah' Negeri Sembilan (NSFC) 4-0 dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Pelawat terlebih dahulu cuba menembusi gawang menerusi Hein Htet Aung awal enam minit sepak mula namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah Razaki
Berselang 15 minit kemudian, pemain import, Herold Mark Goulon menghadirkan gol pertama buat Negeri Sembilan selepas menyempurnakan sepakan sudut Hein Htet Aung.
Kelekaan pasukan tuan rumah menyebabkan skuad Hobin Jang Hobin sekali lagi meraikan gol melalui sepakan Mohamad Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-35.
Minit ke 42, Barathkumar Ramaloo sekali lagi menambah derita skuad Kijang Hijau menerusi rembatan jarak dekat untuk NSFC berpesta gol 3-0 di babak pertama perlawanan.
Keputusan separuh masa pertama NSFC 3, KUFC 0.
Bersambung separuh masa kedua, KUFC menerima layangan kad kuning pertama pada minit ke- 51 selepas Mohamad Qayyum Marjoni Sabil mengasari Mohamad Izzuddin Mohd Roslan.
Percubaan KUFC ternyata tidak membuahkan hasil apabila beberapa tendangan pemain tidak menembusi gawang gol lawan.
Sepakan R Barathkumar pada minit ke-65 menjadi penutup perlawanan kedua-dua pasukan di padang tuan rumah.
Keputusan akhir NSFC 4, KUFC 0.
Aksi Liga Super membabitkan KUFC dan NSFC yang sepatutnya berlangsung jam 9 malam terpaksa ditunda pada jam 10.45 apabila padang digenangi air selepas hujan lebat bermula lewat petang.
Keputusan dibuat oleh Komisioner Perlawanan, Mohd Paudzi Sukami, selepas mendapat persetujuan bersama pengurusan perlawanan dan dua pasukan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!