Kerap adakan persembahan, Afgan risaukan suara
PENYANYI popular Indonesia, Afgansyah Reza mengakui agak bimbang dengan keadaan suaranya selepas kerap melakukan persembahan sebelum datang ke Kuala Lumpur.
Jelas jejaka berusia 34 tahun itu, dia melakukan siri jelajah hampir setiap hari dan adakalanya perlu membuat dua persembahan dalam masa satu hari
“Saya tak sabar nak adakan persembahan esok, gementar itu tetap ada. Salah satu yang saya bimbangkan adalah suara saya.
“Sebelum konsert ini, saya ada siri jelajah, satu hari dua kali show. Jadi kelmarin saya rasa penat sangat, tapi saya pasti bila nak pentas dan lihat penonton, saya akan buat yang terbaik,” ujarnya.
Afgan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Afgan Live In Concert With Orchestra di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Berkongsi perasaannya, pelatun Bukan Cinta Biasa itu mengakui teruja kerana impiannya untuk mengadakan konsert bersama orkestra di Malaysia menjadi kenyataan.
Lebih menarik, Afgan membawa bandnya sendiri yang akan turut mengiringi mereka pada malam esok.
“Ini pertama kali saya akan buat konsert dengan orkestra di sini dan ia merupakan impian saya sejak lama, tetapi baru dapat direalisasikan.
“Walaupun saya pernah mengadakan konsert bersama orkestra di Indonesia, tetapi itu sudah lama dan berbeza,” jelasnya.
Tambah Afgan, memandangkan dia baru sahaja mengadakan konsert di Kuala Lumpur tahun lalu, jadi keutamaan kali ini adalah untuk membawa kelainan kepada peminat yang hadir.
“Tahun lalu persembahan saya mungkin lebih energi kerana bersama band, tetapi kali ini lebih soft dan elegan. Pentas juga berbeza kerana kita bina yang baru agar kelihatan berbeza.
“Susunan muzik juga lain dan saya akan bawakan 25 buah lagu pada konsert itu nanti. Cuma seleksi lagunya itu adalah apa yang disukai peminat di sini,” katanya.
Afgan Live In Concert With Orchestra akan berlangsung di Plenary Hall, KLCC pada jam 8.30 malam Sabtu dibawakan secara eksklusif oleh penganjur, Renjana Idea.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!