Program bual bicara 'Suara Anak Madani' bermula 7 Disember

Shamsul Iskandar pada program Bual Bicara Suara Anak Madani di Pusat Penyiaran Aswara pada Jumaat. - Foto Bernama
Shamsul Iskandar pada program Bual Bicara Suara Anak Madani di Pusat Penyiaran Aswara pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program bual bicara ‘Suara Anak Madani’ yang membincangkan mengenai dasar serta isu-isu hangat dengan tetamu jemputan berlatarbelakangkan dunia politik dan pentadbiran kerajaan bakal menemui penonton di pelbagai platform media sosial pada 7 Disember ini.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin selaku hos Suara Anak Madani berkata, program 20 episod tersebut dapat merapatkan jurang dalam perbincangan isu politik dan semasa dengan gaya lebih santai serta bahasa yang mudah difahami.

"Fokus kita adalah untuk menjemput tetamu daripada kerajaan yang mana mereka ini pembuat-pembuat dasar.

"Kita memberikan ruang kepada menteri dan timbalan menteri untuk keluar setiap minggu memberikan pandangan mereka sekali gus menjawab kritikan oleh rakyat.

"Program ini juga boleh dijadikan sebuah platform bagi kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat, misalnya program atau agenda yang mereka (kerajaan) laksanakan atau akan laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas rakaman program Suara Anak Madani di sini hari ini.

Shamsul berkata, episod pertama dengan tajuk ‘Apa Cerita Setahun Kerajaan Perpaduan Madani?’ akan menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai tetamu jemputan.

Beliau berkata, Program Suara Anak Madani akan disiarkan di platform Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

"Penonton boleh melihat episod pertama ini di saluran YouTube ‘Suara Anak Madani’ pada 7 Disember ini bersempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!